Pahang pantau paras air sungai

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sentiasa memantau perkembangan semasa paras air sungai susulan keadaan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, paras sungai di Pahang masih bertahan dan belum mencapai tahap kritikal.

"Kita tahu sekarang ini musim panas dan air Sungai Pahang (pun) surut. Jadi kita berdoalah. Kita harap hujan akan turun supaya paras air kembali meningkat.

"Setakat ini (paras air sungai) bertahan, masih belum mencapai situasi kritikal," katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan paras air sungai Pahang terkini.

Sebelum itu, beliau mengadakan sidang akhbar pengagihan bayaran keuntungan unit saham ladang di Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) di sini, pada Jumaat.

Wan Rosdy memaklumkan Kerajaan Pahang sudah mempunyai langkah tertentu bagi memantau keadaan semasa paras air sungai.

"Insya-ALLAH, kita ada langkah tertentu bagaimana untuk memantau perkara ini supaya (air sungai) tidak berada dalam keadaan yang tersangat kering.

"Sekarang ini pun, kita sudah berhati-hati, melihat dari semasa ke semasa. Kita akan isytihar apa yang patut dilaksanakan sekiranya keadaan menjadi bertambah buruk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau Sungai Pahang yang dilaporkan surut akibat fenomena El Nino.

Baginda melakukan tinjauan udara itu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Baginda turut menitahkan agar solat hajat dilaksanakan di semua masjid dan surau di Pahang bermula 23 Mac.