Tragedi Easter, 45 maut, bas terbabas, terbakar

Bas yang membawa pengunjung ke perayaan agama Easter hilang kawalan sebelum jatuh dari jambatan dan terbakar di laluan gunung antara Mokopane dan Marken di Limpopo, Afrika Selatan menyebabkan 45 orang maut. - Foto Reuters
Bas yang membawa pengunjung ke perayaan agama Easter hilang kawalan sebelum jatuh dari jambatan dan terbakar di laluan gunung antara Mokopane dan Marken di Limpopo, Afrika Selatan menyebabkan 45 orang maut. - Foto Reuters
A
A
A

JOHANNESBURG - Sekurang-kurangnya 45 orang maut dalam kemalangan selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan sebelum jatuh dari jambatan dan terbakar di laluan gunung antara Mokopane dan Marken di Limpopo, Afrika Selatan pada Khamis, lapor Perbadanan Penyiaran Afrika Selatan (SABC).

Kesemua yang meninggal dunia itu dilaporkan dalam perjalanan menuju perhimpunan Easter iaitu perayaan penganut agama Kristian.

Nahas itu turut menyebabkan seorang cedera parah, kata Jabatan Pengangkutan negara itu dalam satu kenyataan.

Menurut laporan SABC, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang terselamat pula telah dihantar ke hospital.

SABC turut melaporkan, ketika nahas berlaku, penumpang-penumpang bas berkenaan dalam perjalanan dari Gaborone - ibu kota Botswana - menuju sebuah gereja untuk meraikan upacara Easter.

Menteri Pengangkutan Afrika Selatan, Sindisiwe Chikunga berkata, kerajaan akan menghantar pulang mayat ke Botswana.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terjejas akibat nahas tragis bas berhampiran Mamatlakala.

“Ketika ini, ingatan dan doa kami adalah bersama-sama anda khusunys semasa saat-saat sukar ini. Kami terus menggesa pemanduan yang bertanggungjawab pada setiap masa dengan lebih berhati-hati kerana dijangkakan jumlah pengguna jalan raya akan meningkat pada hujung minggu ini sempena sambutan Easter,” kata Chikunga. - Awani

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28