X

Kindly register in order to view this article
!

Negara perlu pemimpin betul-betul faham Perlembagaan Persekutuan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu kagum dengan kesungguhan Sinar Harian mengambil langkah tidak popular menganjurkan kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Presiden Gerakan Pelajar India Se-Malaysia, Arvend Applasamy berkata, keberanian Datuk Dr Hussamuddin Yaacob menyuarakan masalah serius negara ketika isu keharmonian kaum gagal dijuarai media lain membuktikan Penerbit Sinar Harian itu sangat komited dalam menyebar agenda perpaduan rakyat.

“Saya cukup kagum dengan semangat tinggi yang ditunjukkan Datuk Hussamuddin untuk membawa agenda rakyat tanpa mengharapkan sebarang pulangan sekali gus membuktikan Sinar Harian nadi suara rakyat di peringkat akar umbi,” katanya di sini semalam.

Dalam konteks keharmonian antara kaum di negara ini, Arvend berpendapat, isu itu masih terkawal di peringkat akar umbi dengan rakyat berbilang kaum dan etnik masih boleh berkomunikasi dan duduk bersama tanpa sebarang kebimbangan.

Arvend Applasamy
Arvend Applasamy

Bagaimanapun, beliau menegaskan negara kini memerlukan kepimpinan yang benar-benar memahami Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara asas kedaulatan undang (Rule of Law).

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Erat hubungan semakin rapuh

“Apabila segelintir pemimpin politik tidak memahami asas Perlembagaan Persekutuan, mereka akan lebih cenderung memperalatkan sentimen keagamaan dan perkauman tanpa batasan demi kepentingan politik.

“Perkara ini berlaku disebabkan asas kefahaman Perlembagaan Persekutuan tidak diterapkan dan dihadamkan anak muda zaman sekarang sejak di peringkat sekolah lagi.

“Selain itu, perkara berkaitan asas kewarganegaraan Malaysia juga perlu difahami semua golongan belia sejak awal persekolahan. Apabila mereka faham Perlembagaan Persekutuan, ahli politik yang juga menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik akan gagal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Trash Zero, Beh Zeng Kang menganggap peranan ibu bapa sangat penting bagi memupuk keharmonian antara kaum dalam diri anak masing-masing sejak kecil lagi.

Beh Zeng Kang
Beh Zeng Kang

Katanya, ibu bapa perlu melihat kepentingan perpaduan kaum bagi menjamin kebahagiaan dan masa hadapan anak-anak mereka tanpa perlu bersikap prejudis terhadap kaum-kaum tertentu.

“Ibu bapa zaman milenium perlu membawa wacana pemikiran lebih terbuka dengan tidak terikat kepada aspek pemahaman kononnya pendidikan berasaskan perkauman adalah terbaik untuk kepentingan masa depan anak-anak,” katanya.

“Mengambil contoh isu pengenalan tulisan jawi di sekolah rendah, saya fikir perjuangan dan penentangan ditunjukkan pertubuhan seperti Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap inisiatif kerajaan adalah karut dan membuang masa.

“Sebagai seorang bekas mahasiswa mempelajari bahasa Arab di universiti, pemahaman bahasa itu langsung tidak menjejaskan pegangan agama saya apatah lagi tulisan jawi yang hanya sebahagian budaya Melayu,” katanya.

Hantaran yang dimuat naik Hussamuddin mengenai kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony di laman Facebook kelmarin.
Hantaran yang dimuat naik Hussamuddin mengenai kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony di laman Facebook kelmarin.

Di sebalik objektif penubuhan Trash Hero lebih ke arah memperjuangkan kelestarian alam sekitar, Zeng Keng mengakui pertubuhan itu secara tidak langsung turut mempromosi semangat keharmonian antara kaum dengan jumlah keahlian adalah berbilang bangsa dan agama.

“Atas faktor itu, saya bersetuju dengan inisiatif Sinar Harian menganjurkan kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony bagi menyatupadukan etnik di negara ini kerana masih ada harapan untuk kita semua menggembleng usaha ke arah itu,” katanya.