Influenza cepat merebak, boleh bawa maut

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Virus influenza disifatkan sebagai penyakit yang amat berbahaya kerana mudah merebak melalui batuk dan bersin serta boleh membawa maut jika jangkitan merebak ke paru-paru ekoran kesukaran untuk bernafas.

Pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, ini kerana jangkitan boleh berlaku sekiranya seseorang individu menyedut udara tercemar dengan virus itu atau terkena titisan cecair dari hidung atau mulut mereka yang dijangkiti influenza.

Menurutnya, jangkitan virus itu juga terlalu cepat terutama kepada golongan berisiko iaitu mereka yang menghidap penyakit kronik seperti pesakit kanser dan kencing manis, warga emas berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah dan wanita hamil.

“Jadi, jika seseorang dijangkiti virus influenza ini, dia wajib dikuarantin kerana seandainya tidak berbuat demikian, virus itu cepat merebak misalnya jika seorang kanak-kanak pergi ke sekolah, dia akan sebarkan virus itu kepada kanak-kanak lain pula.

ARTIKEL BERKAITAN: 89 murid dijangkiti influenza di Johor

Influenza boleh jangkiti orang sama berulang kali

“Sekiranya seseorang kanak-kanak dijangkiti, tahap bahaya virus itu bergantung kepada daya tahan badan kanak-kanak itu. Kalau kanak-kanak berkenaan mempunyai daya tahan yang kuat, mungkin dia setakat mengalami demam dan selesema sehari dua sahaja tetapi bagi kanak-kanak yang daya tahannya rendah, jangkitan boleh merebak dari saluran pernafasan, tekak dan hidung pergi ke paru-paru menyebabkan berlaku pneumonia iaitu susah bernafas dan mangsa boleh meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Berikutan itu, Zubaidi yang juga Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Islam Malaysia (Perdim) berkata, cara terbaik untuk menghalang daripada terkena jangkitan virus itu adalah dengan mengamalkan langkah pencegahan virus itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Maksudnya kita faham bahawa virus itu disebarkan melalui batuk dan bersin, jadi orang ramai kena pakai penutup hidung dan mulut, elakkan berada di tempat ramai orang dan perlu kerap mencuci tangan menggunakan sabun terutama bagi kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah yang mempunyai risiko yang tinggi.

“Amalan basuh tangan sangat perlu terutama bila sentuh tombol pintu, sentuh meja dan sebagainya kerana tempat yang kita pegang mungkin ada virus itu," katanya.

Beliau menjelaskan, orang ramai perlu memastikan pengambilan air yang banyak bagi meningkatkan daya tahan badan, selain amalan pemakanan yang sihat.

"Pastikan badan tidak terlalu penat dan tidur perlu mencukupi serta perlu dapatkan vaksin jika mahu ke luar negara terutama jika ke negara yang mempunyai berlaku kes jangkitan virus ini,” katanya.