X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu van maut, pemain badminton dunia cedera nahas

Keadaan van yang dinaiki pemain badminton.
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu van maut manakala empat penumpang termasuk pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota, 26, cedera dalam kemalangan di KM13.7 Lebuhraya Mex menghala ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.57 pagi itu, pemandu van warga tempatan yang membawa kesemua mangsa dilapor meninggal dunia akibat tersepit di bahagian pemandu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang tiba di lokasi pada jam 5.15 pagi selepas menerima panggilan memaklumkan kejadian.

Menurutnya, laporan awal memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah van pelancong yang berlanggar dengan sebuah lori tanah muatan 30 tan.

"Terdapat lima mangsa dalam van tersebut, pemandunya yang tersepit disahkan meninggal dunia dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.

"Empat lagi mangsa mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai B Nageswarau, 24, manakala tiga lagi mangsa yang cedera adalah pembantu jurulatih warga Jepun, Marimoto Akifumi, 42; pegawai fisioterapi warga Jepun, Hirayama Yu , 35 dan Pegawai Teknikal BWF, Foster William Thomas berusia 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian melibatkan van yang dinaiki pasukan badminton Jepun.

Menurutnya, Momota mengalami patah tulang hidung luka di bahagian bibir dan muka manakala Yu luka di bahagian muka dan kaki sebelah kanan.

“Akifumi patah tangan manakala Foster William pula menerima tujuh jahitan di bahagian kepala serta luka di bahagian kaki kanan serta paha.

“Semua mangsa stabil dan mendapat rawatan di Hospital Putrajaya. Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.