Majikan gaji, lindung PATI dalam radar JIM

Wan Mohammed Saupee (dua kiri) bermesra bersama petugas media yang hadir pada Sesi Libat Urus Pengarah Bersama Media Mengenai Operasi Penguatkuasaan di Pejabat JIM Kuala Lumpur pada Rabu.
Wan Mohammed Saupee (dua kiri) bermesra bersama petugas media yang hadir pada Sesi Libat Urus Pengarah Bersama Media Mengenai Operasi Penguatkuasaan di Pejabat JIM Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan hanya pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya majikan yang menggaji dan melindungi kumpulan itu juga berada dalam radar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi penahanan majikan yang melakukan kesalahan sedemikian.

Menurutnya, inisiatif JIM adalah bagi menangani isu kebanjiran warga asing dengan tumpuan diberikan di 20 'hotspot' di ibu kota seperti Pasar Pudu, Jalan Silang, dan Kota Raya.

“Di setiap lokasi ini, kita akan tempatkan seorang pegawai bagi memantau kawasan itu dengan setiap mereka ditetapkan KPI setiap bulan membabitkan tangkapan majikan yang menggajikan serta melindungi PATI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pengarah Bersama Media Mengenai Operasi Penguatkuasaan di Pejabat JIM Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sebanyak 871 operasi dijalankan pihaknya pada tahun lalu dengan tangkapan 2,137 PATI selain tindakan terhadap 27 majikan yang dikenakan kompaun sebanyak RM428,500.

Katanya, bagi tempoh tahun ini setakat 26 Mac, JIM Kuala Lumpur telah melaksanakan 243 operasi tangkapan 710 PATI serta 44 majikan.

Wan Mohammed Saupee (dua kanan) beramah mesra bersama pegawai dan anggotanya semasa berbuka puasa selepas Sesi Libat Urus Pengarah Bersama Media Mengenai Operasi Penguatkuasaan di Pejabat JIM Kuala Lumpur pada Rabu.
Wan Mohammed Saupee (dua kanan) beramah mesra bersama pegawai dan anggotanya semasa berbuka puasa selepas Sesi Libat Urus Pengarah Bersama Media Mengenai Operasi Penguatkuasaan di Pejabat JIM Kuala Lumpur pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai peranan media, ujarnya, pengamal media memainkan watak penting dalam membantu pihak JIM Kuala Lumpur menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkaitan warga asing.

"Kami memerlukan rakan media untuk bersama menguatkuasakan dan memastikan Kuala Lumpur sebagai tempat yang selesa untuk dikunjungi selain menyampaikan mesej yang berkesan kepada majikan yang gajikan PATI.

"Saya mahu tuan puan (media) bina satu neratif berkesan yang diingati mana-mana orang kerana dengan kuasa media, dunia maya ini, penyampaian mesej ini lebih meluas," katanya.

Jelasnya, inilah pentingnya kuasa komunikasi dan media juga boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak JIM.