Laporan siasatan kemalangan 11 kenderaan siap dalam masa terdekat - APAD

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian kemalangan tersebut.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian kemalangan tersebut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Laporan teknikal siasatan kemalangan melibatkan sebuah treler yang merempuh 10 kenderaan di kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang-Perling menghala ke Perling di sini pada 25 Mac lalu dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam satu kenyataan pada Rabu memberitahu, pihaknya sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.

"Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengambil tindakan awal dengan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) serta termasuk semakan saman yang pernah dikeluarkan kepada pemandu atau syarikat lori treler tersebut.

"Dalam masa yang sama, JPJ juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan laporan siasatan kemalangan.

"Seterusnya APAD dalam tindakan untuk mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen terlibat setelah mendapatkan Laporan Audit Keselamatan dan Pemeriksaan JPJ (JISA) dan Laporan Pemeriksaan Kenderaan Selepas Kemalangan PUSPAKOM bagi mendapatkan kesahihan kes kemalangan," menurut kenyataan itu.

Menurut APAD, siasatan awal yang melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.

Jelas APAD, berdasarkan laporan yang diterima hasil siasatan awal, pihak PDRM mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki warga tempatan tersebut terbabas selepas mengelak sebuah kereta mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kanan dalam laluan treler itu.

Kejadian pada jam 4.20 petang Isnin melibatkan sebuah treler merempuh 10 kenderaan di laluan bertentangan di lebuh raya berkenaan dan mengakibatkan dua pemandu wanita dan seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an mengalami luka di bahagian muka.

Artikel Berkaitan:

Kemalangan tersebut membabitkan 12 kenderaan iaitu lapan kereta, tiga lori dan sebuah treler sebelum tular dalam media sosial.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28