JIM Johor akan tambah baik kemudahan di BSI, KSAB atasi kesesakan

Baharuddin pada sidang akhbar di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini pada Rabu.
Baharuddin pada sidang akhbar di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor akan menambah baik kemudahan dan sistem di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru bagi menangani masalah kesesakan di pintu masuk negara yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, perbincangan mengenai pendekatan bersesuaian bagi mengatasi kesesakkan di kedua-dua laluan itu akan dilakukan bersama pegawainya dalam masa terdekat.

"Pada Selasa ketika pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baginda menintahkan agar menambahkan baik kemudahan, sistem dan pelbagai kemudahan lain di BSI dan KSAB.

"BSI dan KSAB merupakan laluan darat yang menghubungkan dua negara paling sibuk di dunia. Kedua-duanya menyumbang dan menjana ekonomi negara.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk berbincang dan mencari pendekatan kaedah serta formula terbaik untuk mengatasi isu kesesakan di BSI dan KSAB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi mendengar isu-isu terkini melibatkan operasi di BSI dan KSAB.

Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, pelbagai isu-isu terkini telah disampaikan dan dibincangkan khususnya mengenai urusan operasi imigresen, pemprosesan trafik harian, purata masa menunggu untuk pemeriksaan imigresen serta penambahbaikan yang perlu di BSI dan KSAB.

Sebelum itu, Onn Hafiz membuat lawatan mengejut di BSI pada pagi Ahad selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Menteri Besar Johor itu melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila mendapati lebih 13 kaunter di laluan kereta di BSI tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan.

Berikutan itu, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan amat berharap agar isu itu tidak berulang lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28