Komander IRGC beri taklimat secara tertutup

Kebanyakan akhbar tempatan di Iran hari ini menerbitkan muka depan mengaitkan isu pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh IRGC pada Rabu lalu. (Gambar kecil: Hossein Salami) - Foto AFP
Kebanyakan akhbar tempatan di Iran hari ini menerbitkan muka depan mengaitkan isu pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh IRGC pada Rabu lalu. (Gambar kecil: Hossein Salami) - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) hari ini memberi taklimat kepada Majlis (Parlimen) mengenai insiden pembunuhan Leftenan Jeneral, Qasem Soleimani, serangan balas dendam ke atas Amerika Syarikat (AS) dan insiden tertembak jatuh pesawat Ukraine International Airlines.

Agensi berita ISNA melaporkan Mejar Jeneral, Hossein Salami memberikan taklimat itu dalam satu sesi tertutup.

Susulan sesi tersebut, Speaker Parlimen, Ali Larijani meminta Suruhanjaya Keselamatan dan Dasar Luar Majlis memeriksa insiden tersebut dan langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan tragedi seperti itu berulang.

Perkembangan itu berlaku selepas Teheran kini dilanda protes antirejim selain akhbar di negara itu juga memberi tekanan kepada kepimpinan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan kedua AS sasar komander IRGC di Yemen gagal

AS didakwa mahu bunuh komander Iran di Yemen

Ketika ini, polis antirusuhan turut meningkatkan kawalan mereka di sekitar ibu negara selepas kemarahan awam memuncak susulan IRGC mengaku kesilapannya menembak jatuh pesawat PS752 tersebut yang telah meragut 176 nyawa penumpang.

Pasukan keselamatan dilaporkan melepaskan gas pemedih mata ke atas ribuan penunjuk perasaan yang membanjiri laluan di Teheran dan bandar lain yang turut melaungkan slogan mengutuk pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, kebanyakan akhbar hujung minggu di Iran turut memberi penghormatan kepada mangsa terkorban dalam tragedi PS752 tersebut yang mana kebanyakannya adalah warga Iran dan rakyat Kanada.

Akhbar yang mempunyai hubungan rapat dengan IGRC meletakkan tajuk 'Permohonan maaf dari hati atas kesilapan yang menyakitkan'.

Tajuk muka depan akhbar Etemad turut menggunakan tajuk 'Mohon maaf dan letak jawatan' merujuk kepada gesaan rakyat yang meminta pihak bertanggungjawab terhadap krisis itu supaya berundur.

Selain itu, sebuah akhbar kerajaan dengan tajuk 'Tidak boleh dimaafkan' turut menerbitkan nama kesemua mangsa tragedi tersebut pada gambar ekor pesawat. - Agensi