Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7109/7220 berbanding dolar AS 4.7205/7270 ketika ditutup pada Isnin. Foto hiasan
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7109/7220 berbanding dolar AS 4.7205/7270 ketika ditutup pada Isnin. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan momentum menaiknya untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peniaga mengurangkan minat mereka terhadap dolar AS menjelang pengumuman laporan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS, yang dijadualkan Jumaat ini.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7109/7220 berbanding dolar AS 4.7205/7270 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan mendapat sokongan yang lebih baik berbanding dolar hari ini, mencecah paras 4.7100.

Beliau berkata, Indeks Dolar AS juga merosot sebanyak 0.09 peratus kepada 104.134 mata.

Malam tadi, Presiden Federal Reserve Bank of Atlanta, Raphael Bostic mengekalkan pendiriannya bahawa mungkin berlaku sekali penurunan kadar tahun ini, meningkatkan lagi ketidaktentuan arah pasaran.

"Oleh itu, peserta pasaran berkemungkinan akan meneliti semula data untuk membuat penilaian yang lebih adil mengenai kadar pada masa hadapan.

"Inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi yang akan diterbitkan Jumaat ini akan dipantau dengan rapi oleh pasaran. Anggaran konsensus mengunjurkan inflasi PCE akan dikekalkan pada 2.4 peratus pada Februari,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Ia menyusut berbanding euro kepada 5.1225/1257 daripada 5.1066/1137 ketika ditutup pada Isnin dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9733/9771 daripada 5.9549/9631.

Ringgit juga turun berbanding yen Jepun kepada 3.1194/1216 daripada 3.1185/1230 pada Isnin.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia menyusut berbanding baht Thai kepada 13.0021/0151 daripada 12.9627/9866 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 298.7/299.1 daripada 298.7/299.3.

Mata wang tempatan itu juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5112/5137 daripada 3.5060/5111 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.38 daripada 8.37/8.39 sebelum itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28