28 kes penyakit berkaitan haba, satu kematian dicatatkan - KKM

Orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti lain di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang. Foto hiasan
Foto: BERNAMA
Orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti lain di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang. Foto hiasan Foto: BERNAMA
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan di seluruh negara sehingga Isnin dengan sembilan daripadanya melibatkan strok haba dan 19 lagi kelesuan haba.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, dari segi pecahan kes mengikut negeri, Kedah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu lapan kes, Perak (7), Selangor (3), Negeri Sembilan (3), Sabah (3), Perlis (2), Johor (1) dan Pahang (1).

Menurutnya, seramai 23 orang pesakit adalah berumur antara 20 hingga 59 tahun manakala selebihnya remaja lingkungan 13 hingga 19 tahun.

“Terdapat satu kes kematian akibat strok haba melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang mana telah dimasukkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang pada 31 Januari dan meninggal dunia pada 2 Februari lalu.

“Sehingga kini juga terdapat satu kes strok haba iaitu seorang lelaki berumur 24 tahun yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson dan keadaannya dilapor masih tidak stabil.

“Manakala satu lagi kes strok haba melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dipindahkan ke wad biasa serta stabil selain 25 kes lagi telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran gelombang haba di Perlis apabila suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sejak 19 Mac.

Sebahagian besar Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling, Kulim), Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar), Kelantan (Jeli, Kuala Krai, Gua Musang) dan Pahang (Jerantut, Bentong, Raub, Maran, Bera, Temerloh) mengalami cuaca panas tahap satu iaitu suhu maksimum harian melebihi 35°C hingga 37°C.

Artikel Berkaitan:

Negeri lain yang turut mencapai suhu maksimum berkenaan ialah Melaka (Tampin, Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin), Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Jelebu, Seremban, Jempol), Johor (Tangkak, Muar, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Segamat) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sepang.

Pada masa yang sama, MetMalaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April 2024.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak.

“Orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti lain di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28