Rita Rudaini sudah lama 'move on'

Rita dan anak-anak sudah lama hidup selesa biarpun tanpa figura bergelar ayah.
Rita dan anak-anak sudah lama hidup selesa biarpun tanpa figura bergelar ayah.
A
A
A

AKTRES Rita Rudaini mendedahkan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, bersikap lebih matang dan sentiasa melindungi dirinya.

Jelas Rita, pernah suatu hari dia secara tidak sengaja berada sedih ketika membaca komen dan Rayyan meminta untuk mengabaikan hal berkenaan.

"Budak lelaki kalau matang, dia tak akan banyak cakap dan cakap perkara yang perlu sahaja. Ada lah satu hari, saya baca komen netizen berkenaan satu isu mengenai kami.

"Masa baca itu saya diam dan dia terus tanya, mengapa saya sedih? Saya terkejut dengan pertanyaan dia dan beritahu sedih sebab baca komen yang ditinggalkan netizen. Dia cakap, jangan baca lagi," katanya.

Tambah Rita, dia juga pernah berbual bersama Rayyan mengenai isu yang tular dan bertanya pendapatnya anaknya mengenai perkara itu.

Namun selepas mendengar jawapan Rayyan, Rita membuat keputusan untuk tidak bertanya lanjut.

"Saya pernah tanya Rayyan, dia nak tak jumpa daddynya dan dia hanya menggelengkan kepala. Saya tanya sekali lagi, kenapa tak mahu? Dia jawab kenapa dia perlu berjumpa?

"Jadi selepas itu saya tidak tanya lagi, saya tak mahu memaksa dia kerana bagi saya emosi anak lelaki lebih sensitif daripada anak perempuan sebab anak perempuan dia akan luah, lelaki tidak," jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama artis Starvendor di sebuah hotel di USJ pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Tegas wanita berusia 48 tahun itu, sejak dahulu lagi, dia tidak pernah menghalang kedua-dua anaknya bertemu bertemu bapa mereka yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan.

Bagaimanapun, peluang Aidil bertemu Rayyan dan Airit Qaqa Arjuna, 13, sudah berakhir sebaik kedua-duanya menginjak ke usia tujuh tahun.

"Kalau anak-anak nak jumpa saya ok. Mereka anak kan, saya tak mahu mereka jadi anak derhaka. Tetapi kalau dia nak jumpa dan anak tak mahu, saya tak akan bagi.

"Saya sebenarnya dah letak 'tarikh luput' untuk dia berjumpa anak-anak iaitu ketika anak masuk tadika. Masa itu saya minta peguam beritahu dia untuk sama-sama bertanggungjawab tetapi tiada respons.

"Bila anak dah masuk darjah satu, lagilah senyap. Bagi saya cukuplah, itu momen penting (anak masuk sekolah tadika) dan saya buat keputusan untuk teruskan hidup masing-masing sebab saya bukan mahu bermusuh.

"Cuma sebagai ibu, saya sedih. Kalau nak fikirkan, saya tidak akan tumpu pada anak-anak sebab terbawa-bawa rasa marah. Jadi saya teruskan (kehidupan),” tuturnya.

Peringatan

Tambah Rita, mereka bertiga sudah menjalani kehidupan seperti biasa biarpun tanpa figura bergelar bapa buat anak-anaknya.

Sejak berpisah, Rita tabah menguruskan anak-anak sendiri.
Sejak berpisah, Rita tabah menguruskan anak-anak sendiri.

Bagaimanapun, perkara ini kembali terungkit apabila ada netizen yang masih bertanya mengapa anak-anaknya tidak dibenarkan bertemu bapa mereka.

"Bila orang tanya saya hanya jelaskan sebab mungkin ada yang tak tahu, tetapi bila jadi tajuk berita, orang ingat saya masih nak ungkit cerita lama.

"Walhal saya bukan tak bagi jumpa, saya ada rumah yang sama, masih menggunakan nombor yang sama, tetapi sejak dulu memang dia tidak pernah cuba bertemu atau menghubungi anak-anak. Hari jadi tak ada, hari raya tak ada, hari biasa lagilah," ujarnya.

Dalam masa sama, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Mami Jarum itu meminta sesiapa sahaja yang bertemu mereka untuk tidak bercakap mengenai Aidil depan anak-anak.

"Bila orang jumpa kami, ada yang suka cakap dengan Rayyan muka dia sama macam daddynya. Saya bukan tak suka dengar, tetapi cakap dengan saya sahaja, jangan cakap depan Rayyan.

"Sebab kita tak tahu apa dia rasa walaupun reaksi selalunya dia akan senyum. Cuma selepas itu jadi tanggungjawab saya pula untuk jelaskan dan jaga emosi dia," katanya lagi.

Terdahulu, Rita meluahkan rasa kesal apabila segelintir netizen bersimpati dengan nasib bekas suaminya dan mendakwa dia menghalang Aidil daripada bertemu dua cahaya mata mereka.

Rita berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun berpisah pada September 2013.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Dalam perkembangan lain, Rita akan bersama-sama 70 selebriti dan pempengaruh media sosial menyertai Starvendor KLCC Mega Raya Fest 2024 yang akan berlangsung 72 jam tanpa henti bermula 29 Mac ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!