DAP ucap terima kasih kepada UMNO, BN

Nie Ching (depan, dua dari kiri) pada majlis serahan tangki air di Balairaya Kampung Sri Muar, Kulai, Johor pada Sabtu.
Nie Ching (depan, dua dari kiri) pada majlis serahan tangki air di Balairaya Kampung Sri Muar, Kulai, Johor pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - DAP mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kesediaan parti terlibat untuk memberikan sokongan kepada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, biarpun belum ada sebarang perbincangan dibuat khususnya mengenai persediaan untuk PRK berkenaan, namun pihaknya menghargai sokongan yang dinyatakan itu.

“Bagi pihak DAP, saya selaku Setiausaha Publisiti hendak mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN yang telah menyatakan bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh untuk PRK Kuala Kubu Baharu.

“Bagaimanapun, setakat ini kita belum memulakan perbincangan kita tentang persediaan untuk pilihan raya ini kerana pengebumian mendiang pada hari Isnin ini.

“Jadi, fokus kami sekarang, memang atas semua upacara pengebumian mendiang,” katanya pada sidang akhbar sempena program sumbangan tangki air di Balairaya Kampung Sri Muar, Kulai pada Sabtu.

Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa parti yang diterajui olehnya akan membantu mana-mana pihak yang dicalonkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK di Kuala Kubu Baharu nanti.

Untuk rekod, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis, setelah beberapa tahun menderita akibat penyakit kanser.

Mengulas mengenai calon yang akan diketengahkan pada PRK nanti, Nie Ching berkata, pihaknya akan membincangkan pekrara tersebut selepas pengebumian selesai.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya percaya kami masih ada masa.

"Biarlah kita fokus penghormatan kepada anggota keluarga mendiang,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28