Tingkat kemampuan makmal atasi isu dadah - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Bilik Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman. Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Bilik Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju meningkatkan kecekapan dan kapasiti makmal patologi dengan anggaran kos berjumlah RM230 juta bagi menangani isu dadah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kemudahan makmal yang membuat pemeriksaan dan ujikaji dadah.

Beliau berkata, kos bagi peningkatan kemudahan berteknologi tinggi itu bagaimanapun tertakluk kepada peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi tempoh pelaksanaan selama 10 tahun secara berfasa.

"Cadangan ini akan melibatkan kerja-kerja menaik taraf lapan makmal dadah sedia ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak apabila kelengkapan makmal ini telah usang.

"Selain itu, kerajaan bersetuju menubuhkan enam makmal dadah baharu di negeri Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

"Peningkatan keupayaan makmal patologi ini akan memberikan impak positif kepada kelancaran proses pengurusan kes-kes berkaitan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dan sistem kesihatan secara amnya," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat sini.

Hadir sama dalam sidang akhbar itu adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, menyedari perubahan trend pengedaran dan penyalahgunaan dadah, naratif baharu Pelan Komunikasi Membanteras Gejala Dadah perlu dilihat semula.

Jelas beliau, tindakan itu mengambil kira kos yang minimum, namun memberikan kesan efektif yang tuntas kepada umum.

Ini kerana katanya, profil penyalahgunaan dan penagih dadah serta bahan terlarang untuk tempoh 2021 hingga 2023 bagi setiap negeri menunjukkan trend meningkat.

"Kerajaan mahu menggunakan pendekatan baharu dan tidak mahu lagi menggunakan tindakan konvensional.

"Kita perlu melihat langkah perundangan sedia ada bagi diperketatkan kerana masih terdapat kelompongan untuk proses penguatkuasaan," ujarnya.

Sementara itu, menurutnya, mesyuarat JKMD kali ini menjemput Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membincangkan secara khusus mengenai status Rang Undang-Undang (RUU) Kawal Selia Platform e-Dagang.

Beliau berkata, RUU itu dilihat dapat mengukuhkan lagi punca kuasa kawalan dan penguatkuasaan bagi mengekang penjualan dadah secara dalam talian terutama melalui platform e-Dagang.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani isu kebejatan sosial ini dengan kerjasama pelbagai pihak di semua peringkat usia bagi memastikan rakyat di negara ini bebas daripada gejala dadah," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28