Pihak berkelayakan dipelawa hadir taklimat fungsi pemeriksaan kenderaan motor

Anthony pada sidang akhbar di pejabatnya pada Selasa.
Anthony pada sidang akhbar di pejabatnya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak yang berkelayakan, memenuhi syarat dan kompeten dipelawa untuk menghadiri sesi taklimat fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 333.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, taklimat berkenaan akan diadakan pada 23 April manakala permohonan berkaitan tawaran ini boleh mula dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 Jun.

"Perincian lanjut mengenai proses atau prosedur penghantaran tawaran akan boleh diperoleh sama ada mengakses laman web, saluran media rasmi JPJ atau berhubung terus dengan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ selepas daripada sesi taklimat tersebut," ujar beliau menerusi sidang akhbar di pejabatnya pada Selasa.

Jelas beliau, garis panduan terperinci yang mengandungi semua syarat dan peraturan berkaitan boleh diperoleh mulai 15 April di laman web Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ.

"Syarat-syarat perkhidmatan akan terbahagi kepada tujuh komponen utama antaranya modal berbayar syarikat ditetapkan RM10 Juta dan mempunyai modal pusingan RM5 juta setahun demi menjaga kemampanan perniagaan," katanya.

Menurut Anthony, pemegang lesen juga hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Pemegang lesen tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitannya demi menjaga integriti," katanya.

Pada Mac lalu, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus menjadikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi memonopoli perkhidmatan itu.

Konsesi Puspakom tamat pada 31 Ogos depan.

Sementara itu, Anthony berkata, lokasi pembukaan pusat pemeriksaan ditetapkan oleh MOT sahaja.

"Setiap tawaran akan mempunyai dua lokasi yang dikembarkan setiap satunya, merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar.

Pemohon akan diwajibkan membangunkan dan mengoperasikan kedua-dua lokasi secara serentak," katanya.

Tambah beliau, bagi negeri yang padat seperti Selangor, pusat pemeriksaan kenderaan motor akan dibuka sehingga di tiga lokasi.

"Syarikat terpilih mestilah mengendalikan di lokasi bandar dan luar bandar," kata Anthony.

Ujar beliau, pihak yang berjaya akan diberikan suatu lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor untuk tempoh masa maksima 10 tahun dengan kebolehan untuk disambung bagi suatu tempoh lain yang akan ditetapkan kemudian.

"Pihak yang gagal mematuhi syarat akan dikenakan penalti dan boleh digantung atau dibatalkan lesen sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28