Asyraf Wajdi minta Mara teliti aduan UKKM jauh dari rumah

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta memperhalusi keluhan ibu bapa ekoran anak-anak terpaksa menjalani Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) jauh dari tempat tinggal masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung permasalahan itu khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Atas dasar itu, Asyraf Wajdi memaklumkan telah meminta pengurusan Mara untuk meneliti perkara tersebut dan menyelesaikannya dengan kadar segera bagi mengelakkan hak dan kebajikan golongan susah dinafikan.

"Saya tidak mahu hanya kerana terpaksa menjalani ujian UKKM selepas Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di lokasi yang terlalu jauh daripada alamat sebenar, menafikan hak serta kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Asyraf Wajdi juga membuka ruangan komennya di Facebook sebagai platform untuk ibu bapa menyampaikan aduan supaya dapat diselesaikan segera.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sudahpun meminta pegawai-pegawai Mara untuk menghubungi ibu bapa yang berdepan masalah itu.

"Kalau sehingga Isnin, ada lagi yang komen di ruangan Facebook ini (sama ada) belum atau tidak dihubungi oleh pegawai-pegawai Mara, sila maklumkan kembali pada saya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!