Bekas setiausaha pertubuhan pengurusan bangunan didakwa salah guna wang

Ah Nyok (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang agensi itu, tiga tahun lalu.
Ah Nyok (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang agensi itu, tiga tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas setiausaha sebuah pertubuhan pengurusan bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas pertuduhan menyalahgunakan wang agensi itu, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Siaw Ah Nyok, 77, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai setiausaha pertubuhan berkenaan dengan tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang berjumlah RM4,500 daripada akaun bank milik pertubuhan itu.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada Januari hingga Oktober 2021 di AmBank Taman Rasah Jaya, di sini.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, hukuman penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan sudah bersara dan hanya menjadi sukarelawan di pertubuhan berkenaan tanpa gaji atau elaun.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 25 April ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!