Anggota Perhilitan cedera dirempuh gajah

Beberapa anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh membawa keluar mangsa yang cedera dirempuh gajah. Foto bomba
Beberapa anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh membawa keluar mangsa yang cedera dirempuh gajah. Foto bomba
A
A
A

KEMAMAN - Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cedera dirempuh seekor gajah liar dalam kejadian di kawasan hutan Felda Cherul, Cheneh, dekat sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohd Hafiezul Mohamad berkata, akibat kejadian itu mangsa yang berusia 50-an tersebut mengalami kecederaan di bahagian belakang badan serta dada.

Menurutnya, seramai 14 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.06 petang.

Seorang anggota Perhilitan cedera dirempuh seekor gajah liar. Foto bomba
Seorang anggota Perhilitan cedera dirempuh seekor gajah liar. Foto bomba

"Difahamkan kejadian itu berlaku pada jam 2 petang apabila mangsa bersama lapan lagi anggota Perhilitan lain sedang dalam operasi pemantauan haiwan liar.

"Mangsa bersama rakan-rakan sekerja lain sedang dalam perjalanan keluar dari hutan, namun tiba-tiba seekor gajah muncul dari arah belakang mereka secara meluru dan kemudian merempuh mangsa.

"Mangsa yang tidak menyedari kehadiran haiwan liar itu telah tercampak ke atas tanah akibat terkena belalai gajah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dibawa keluar dengan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan. Foto bomba
Mangsa dibawa keluar dengan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan. Foto bomba

Mengulas lanjut, Mohd Hafiezul menyatakan mangsa ketika itu berada dalam keadaan sedar, namun tidak dapat bergerak terpaksa dibawa keluar dengan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan.

Tambah beliau, mangsa dibawa ke Hospital Kemaman menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba untuk rawatan lanjut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28