Mahasiswa rewang siapkan 180 kotak piza

Penuntut bersama piza yang dihasilkan sendiri untuk juadah berbuka. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Penuntut bersama piza yang dihasilkan sendiri untuk juadah berbuka. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

BANGI – Sebanyak 180 kotak piza berjaya disiapkan secara gotong-royong oleh mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI) menerusi program Hari-Hari Rewang Iftar, anjuran Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) dan Sinar Harian pada Isnin.

Pengurus Daerah Pusat Pakaian Hari Hari Malaysia, Putery Julyana Abu Hassan berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai salah satu cara menyantuni para pelajar yang jauh daripada keluarga untuk berbuka puasa beramai-ramai dengan keluarga besar PPHH.

Putery Julyana menyerahkan sumbangan kepada Tabung Siswa UniKL diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (tengah) pada program Iftar Untuk Mu Mahasiswa di dewan Perdana UniKL MFI Bangi pada Isnin. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Putery Julyana menyerahkan sumbangan kepada Tabung Siswa UniKL diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (tengah) pada program Iftar Untuk Mu Mahasiswa di dewan Perdana UniKL MFI Bangi pada Isnin. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

“PPHH ingin berkongsi rezeki dengan pelajar-pelakar dan program ini secara tidak langsung juga dapat meraikan pelajar UniKL berbuka puasa bersama program julung kali anjuran PPHH ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara sesama pelajar UNIKL dalam suasana yang penuh harmoni.

“Seramai 20 petugas PPHH terlibat bergotong-royong menyediakan piza sejak dari jam 4 petang,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan mengapa piza menjadi pilihan untuk program kali ini, Julyana berkata, piza senang untuk disediakan malah untuk program kali ini terdapat lima perisa piza berjaya dihasilkan.

“Penyediaan piza tidak rumit dan ia salah satu makanan yang amat digemari oleh golongan muda jadi kita tampil untuk raikan apa yang mereka suka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian mahasiswa yang hadir pada program Iftar Untuk Mu Mahasiswa UniKL. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Sebahagian mahasiswa yang hadir pada program Iftar Untuk Mu Mahasiswa UniKL. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

Bagi Pensyarah Kanan Bahasa Inggeris Bahagian Pembangunan Pelajar UniKL MFI, Dr Wan Iman Wan Salim menyifatkan pelajar di situ sangat beruntung kerana dapat menikmati piza sebagai juadah berbuka.

“Berbeza sebelum ini mereka hanya berpeluang makan nasi dan kuih-muih, jadi bila dapat sediakan piza yang dimasak sendiri ini pastinya ia merupakan salah satu pengalaman bermakna.

“Saya dapat lihat mereka seronok untuk siapkan piza dan yakin ia dapat melupakan seketika kerinduan mereka dengan keluarga masing-masing terutama mereka yang berasal dari luar semenanjung Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus UNiKL MFI, Husma Hussin mengucapkan terima kasih kepada PPHH kerana menaja program Rewang Iftar berkenaan.

“Bagi saya ini merupakan usaha yang baik ditambah dengan kerjasama dengan pihak Sinar Harian, ia akan menjadi kenangan dan semangat untuk pelajar di sini terus sukses dan berjaya dalam jurusan yang diceburi,” katanya.


Reaksi pelajar tentang Hari-Hari Rewang Iftar:

“Kalau sebelum ini kami masak nasi dan lauk pauk untuk berbuka, kali ini kami belajar buat piza pula. Ia adalah pengalaman baharu untuk kami."

- Penuntut Diploma Penyelenggaraan Automotif, Muhammad Fawwaz Sobri, 20

Muhammad Fawwaz
Muhammad Fawwaz

“Terima kasih Pusat Pakaian Hari-Hari dan Sinar Harian kerana menaja dan menjayakan Rewang Iftar ini."

- Penuntut Diploma Penyelenggaraan Automotif, Wan Usamah Wan Mahrimi, 20

Syazwan
Syazwan

“Aktiviti pada bulan Ramadan seperti ini dapat memberikan kami semangat untuk terus belajar untuk mencapai apa yang dicitakan.”

- Penuntut Ijazah Kejuteraan Mesin, Syazwan Haziq, 20

Wan Usamah
Wan Usamah

“Program seperti ini dapat memupuk semangat kerjasama dan gotong-royong dikalangan pelajar."

- Penuntut Ijazah Pemeriksaan Kualiti Kimpalan, Mohd Harith Mansor, 21

Mohd Harith
Mohd Harith

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28