Arif Aiman cipta hatrik Pemain Paling Bernilai ABK

Arif Aiman berada dalam kelas tersendiri selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai buat kali ketiga berturut-turut. Foto JOHOR Southern Tigers
Arif Aiman berada dalam kelas tersendiri selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai buat kali ketiga berturut-turut. Foto JOHOR Southern Tigers
A
A
A

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi berada dalam kelas tersendiri selepas dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK23) pada Isnin.

ABK23 menyaksikan kecemerlangan buat Arif, bintang muda berusia 22 tahun yang berjaya mempertahankan gelaran itu selepas kali pertama dinobatkan sebagai MVP ketika usianya 19 tahun pada ABK21.

Susulan prestasi cemerlangnya bersama JDT pada 2023 melayakkan Arif untuk meraih anugerah tersebut selain turut menjadi nadi utama pasukan dalam membantu JDT meraih kejuaraan Liga Super selama sedekad musim lalu.

Menariknya, Arif menjadi pemain pertama yang memenangi MVP selama tiga tahun berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melakukannya pada 2010 sehingga 2012.

“Syukur alhamdulillah kerana saya berjaya meraih anugerah MVP buat kali ketiga dan sebenarnya pun tak sangka juga sebab saya baru sahaja berusia 22 tahun.

“Saya gembira dengan segala usaha yang saya lakukan selama ini untuk menang anugerah ini dan sudah tentu kejayaan ini akan memberi semangat untuk saya buat yang lebih baik.

“Saya tidak akan pernah rasa cepat berpuas hati dan seperti biasa saya akan terus berusaha buat yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kelab (JDT),” katanya.

Selain itu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang ini turut mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas-Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim.

Artikel Berkaitan:

Ini juga merupakan musim ketiga Arif dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik sejak memenanginya pada 2021 selepas membuktikan ketajamannya sebagai penyerang untuk meraih sebanyak 21 gol secara keseluruhan musim lalu.

Sementara itu, bagi Faisal yang berkongsi jaringan 12 gol dalam pentas Liga Super bersama Arif jelas gembira dengan pengiktirafan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.

“Syukur kepada ALLAH SWT atas rezeki ini untuk saya menerima Anugerah Kasut Emas.

“Terima kasih atas sokongan semua terutamanya pihak pengurusan Selangor FC, barisan kejurulatihan dan semua yang terlibat termasuklah keluarga saya.

“Musim 2023 adalah tahun menakjubkan dan bukan mudah untuk meraih 12 gol tanpa bantuan daripada rakan sepasukan juga,” kata Faisal.

Secara keseluruhan, ABK23 menyaksikan kelab JDT berjaya menguasai sembilan kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. Foto Johor Southern Tigers
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed. Foto Johor Southern Tigers

Selain lima anugerah yang telah dirangkul oleh Arif, empat lagi trofi dibawa pulang oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi apabila berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik dan Afiq Fazail pula memenangi Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua.

Muhammad Afiq Fazail dinobat Pemain Tengan Terbaik. Foto Johor Southern Tigers
Muhammad Afiq Fazail dinobat Pemain Tengan Terbaik. Foto Johor Southern Tigers

Tonggak import JDT, Bergson da Silva turut sama mempertahankan Anugerah Pemain Import Terbaik selain juara sedekad Liga Super, JDT pula merangkul gelaran Pasukan Terbaik.

Bérgson Gustavo Silveira da Silva. Foto Johor Southern Tigers
Bérgson Gustavo Silveira da Silva. Foto Johor Southern Tigers

Kategori lain juga menyaksikan penyerang Selangor FC musim 2023, Ayron del Valle memenangi Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 23 gol secara keseluruhan manakala pemain Kedah Darul Aman FC B (KDA B) Ebenezer Assifuah pula dinobatkan Penjaring Terbanyak Piala MFL menerusi ledakan 16 gol.

Anugerah Jurulatih Terbaik pula menjadi milik pengendali Selangor FC musim 2023 iaitu Tan Cheng Hoe susulan kejayaannya membimbing kelab itu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekali gus meraih slot ke AFC Champions League 2 (ACL2).

Azam Azmi Murad (Terengganu FC) pula dinobatkan selaku Pertahanan Terbaik manakala Anugerah Fair Play pula dimenangi pasukan Terengganu FC.

Sementara itu, pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL yang juga merupakan kategori baharu untuk kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada musim 2023.

“Alhamdulillah untuk anugerah ini dan saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu, barisan jurulatih, rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu perjalanan kami di Piala MFL.

“Terima kasih juga kepada MFL yang menyediakan platform kejohanan ini khusus buat pemain-pemain muda buat kali pertama pada tahun lalu,” kata Ubaidullah.

Seramai 398 daripada 782 pemain telah disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 yang terdiri daripada Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, E Elavarasan; Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Razman Roslan; AJK Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Noor Zaidi Rohamat; Exco Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM), Rozaidi Zulkifli dan wakil penyiar rasmi Liga Malaysia (HB), S Keeshaanan bagi menyenaraipendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.

Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

Pemilihan pemain terbaik bagi lapan kategori telah dibuat menerusi undian 14 ketua jurulatih dan 14 ketua pasukan Liga Super, 15 ketua jurulatih dan 15 ketua pasukan Piala MFL serta 29 wakil media.

Sementara itu bagi kategori Anugerah Pasukan Terbaik telah diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play telah ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), manakala Fan XI dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 pula menerusi undian penyokong.


ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2023 (ABK23)

PENJARING TERBANYAK TEMPATAN LIGA SUPER

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

Faisal Halim (Selangor FC)

12 gol

PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER

Ayron del Valle Rodríguez (Selangor FC)

23 gol

GOL TERBAIK LIGA MALAYSIA 2023

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

JDT menentang Perak FC aksi separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh.

PENJAGA GOL TERBAIK

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN TERBAIK

Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

PEMAIN TENGAH TERBAIK

Muhammad Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)

PENYERANG TERBAIK

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

PEMAIN IMPORT TERBAIK

Bérgson Gustavo Silveira da Silva (Johor Darul Ta’zim)

PEMAIN MUDA TERBAIK

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

PENGENDALI TERBAIK

Tan Cheng Hoe (Selangor FC)

PASUKAN TERBAIK

Johor Darul Ta’zim

PEMAIN TERBAIK PIALA MFL

Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)

PEMAIN PALING BERNILAI (MVP)

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

PENJARING TERBANYAK PIALA MFL

Ebenezer Assifuah (Kedah Darul Aman FC B)

16 gol

ANUGERAH FAIR PLAY

Terengganu FC

KESEBELASAN TERBAIK, JURULATIH PILIHAN PENYOKONG LIGA MALAYSIA

PENJAGA GOL

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim)

PERTAHANAN

Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC)

Jordi Amat (Johor Darul Ta’zim)

Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC)

La'Vere Lawrence Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH

Manuel Federico Hidalgo Gasparini (Kedah Darul Aman FC)

Muhammad Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)

Park Tae-soo (Sabah FC)

PENYERANG

Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

Ayron del Valle Rodríguez (Selangor FC)

Bérgson Gustavo Silveira da Silva (Johor Darul Ta’zim)

PENGENDALI

Tan Cheng Hoe (Selangor FC)

Formasi: 433

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28