Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS, mata wang utama lain

Pada 6 petang Isnin, ringgit menokok kepada 4.7205/7270 berbanding dolar AS daripada 4.7340/7390 semasa ditutup pada Jumaat.
Pada 6 petang Isnin, ringgit menokok kepada 4.7205/7270 berbanding dolar AS daripada 4.7340/7390 semasa ditutup pada Jumaat.
A
A
A

RINGGIT meningkat semula untuk ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan minat risiko yang bertambah baik disebabkan prestasi yuan China yang positif, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.7205/7270 berbanding dolar AS daripada 4.7340/7390 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit secara umumnya berada dalam kedudukan lebih kukuh hari ini, meningkat lebih 0.25 peratus berbanding dolar AS.

Beliau berkata, ini selari dengan prestasi yuan China, menokok 0.26 peratus kepada 7.2106 yuan bagi setiap dolar AS.

Kenyataan Perdana Menteri China, Li Qian pada Ahad lepas menunjukkan kadar inflasi rendah di negara itu di tengah-tengah beban hutang yang rendah oleh kerajaan pusat, memberikan maksud ia mempunyai ruang dasar untuk menetapkan lebih banyak dasar penstabilan.

"Keadaan ini mungkin telah menyumbang kepada sentimen positif terhadap yuan. Ia, seterusnya, turut membantu meningkatkan nilai ringgit memandangkan korelasi positif antara yuan dan mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.1066/1137 daripada 5.1203/1257 semasa ditutup pada Jumaat dan berbanding pound Britain kepada 5.9549/9631 daripada 5.9582/9645.

Artikel Berkaitan:

Ringgit turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1185/1230 daripada 3.1223/1258 pada Jumaat.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang Asean lain.

Ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.9627/9866 berbanding 13.0116/0318 pada Jumaat dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 298.7/299.3 daripada 299.8/300.4.

Unit tempatan turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5060/5111 daripada 3.5106/5145, dan berbanding peso Filipina, ia diniagakan tinggi kepada 8.37/8.39 daripada 8.41/8.42 sebelumnya. - Bernama