Segera edar beras putih tempatan - NACCOL

Syed Abu Hussin Hafiz (kiri) melakukan tinjauan di sebuah pasar raya.
Syed Abu Hussin Hafiz (kiri) melakukan tinjauan di sebuah pasar raya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menggesa pihak Seksyen Badan Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya mengedar beras tempatan ke seluruh negara susulan ketiadaan bekalan tersebut di kebanyakan pasar raya di negara ini.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ketiadaan bekalan beras putih itu akan memberi kesan kepada rakyat berikutan beras tempatan sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada pengguna menjelang musim perayaan nanti.

Syed Abu Hussin Hafiz
Syed Abu Hussin Hafiz

"Setiap dua hari sekali kita akan pergi kira-kira 70 lokasi untuk lakukan pemantauan bagi memastikan keberadaan beras putih tempatan di pasar raya. Hasil laporan daripada pasukan penggerak Madani mendapati sedikit sahaja pasar raya menjual beras putih tempatan.

"Pada 22 Mac lepas pula Ketua Pengarah Kawal Selia Padi memaklumkan dalam sesi bual bicara di televisyen memaklumkan mengedar lebih 14 juta tan beras ke seluruh negara namun beras putih tempatan masih tiada lagi dalam pasaran.

"Jadi, kita minta supaya pihak Seksyen Badan Kawalselia Padi dan Beras menjelaskan kenapa masih belum ada lagi beras putih tempatan di pasar raya dalam negara selain segerakan pengedaran beras sebab menjelang raya ramai pengguna dan rakyat nak beli beras untuk kegunaan hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.

Sebelum ini, mesyuarat NACCOL Bil 1/2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Mac lalu memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu kekurangan beras di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Antara tindakan itu termasuk kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, hasil pemantauan di kebanyakan pasar raya mendapati hanya beras putih import yang masih berharga lebih mahal dalam pasaran.

"Walaupun harga sekampit beras putih import sudah diturunkan antara RM2 dan RM3 sekampit namun ia masih mahal berbanding beras putih tempatan cuma RM26 bagi 10 kilogram.

"Jadi saya mohon pengedaran beras putih tempatan disegerakan sebab ramai pengguna mahu membeli menjelang Hari Raya Aidilfitri ini," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28