NAFAS sedia bantu kerajaan tangani kekurangan beras putih tempatan

Nafas bersedia membantu kerajaan dengan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta menangani isu kekurangan BPT di pasaran. - Gambar hiasan
Nafas bersedia membantu kerajaan dengan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta menangani isu kekurangan BPT di pasaran. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersedia membantu kerajaan dengan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, pihaknya turut tidak keberatan untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurutnya, ia bertujuan memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang realistik untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan, kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran.

“NAFAS selaku pengeluar dan pembekal bagi keperluan baja negara melalui skim subsidi kerajaan kepada hampir 200,000 pesawah yang merupakan ahli peladang dari seluruh negara berupaya memberi komitmen penuh untuk terlibat secara langsung dalam rantaian pembekalan beras negara.

“Bukan itu sahaja, pertubuhan turut mempunyai rantaian pembekalan lengkap dan menjalin kerjasama strategik aktif bersama 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Malaysia.

“Ia berupaya untuk membantu dalam mengeluarkan dan mengedar beras tempatan melalui kemudahan sedia ada seperti kilang-kilang memproses padi, pusat pembelian, pengumpulan padi serta juga lesen pengilang dan pemborong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan lebih kerap bagi menangani isu kekurangan BPT di pasaran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan pemantauan dan penguatkuasaan itu menuntut perubahan bagi memastikan edaran BPT lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mencadangkan agar NAFAS untuk terlibat dalam menangani isu bekalan beras tempatan negara.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, seluruh rangkaian pertubuhan peladang akan bersama-sama membantu kerajaan menangani isu bekalan BPT sekali gus menjual beras dengan harga muhasabah supaya kos sara hidup dapat diharmonikan.

“Dengan pelaksanaan strategi ini, ia secara langsung dapat meningkatkan keterjaminan makanan, mengurangkan risiko krisis beras pada masa depan dan mencapai matlamat kebergantungan beras yang lebih rendah.

“Ini adalah usaha yang penting untuk memastikan makanan yang mencukupi bagi rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!