PAC puas hati KKM dapat bayaran balik ventilator tidak berfungsi

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berjaya mendapatkan bayaran balik ventilator yang tidak berfungsi.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, bayaran balik itu berjumlah RM16,785,910.95 bagi 104 unit ventilator.

Beliau menjelaskan, tindakan itu selaras dengan syor ketiga Laporan PAC DR 11/2023 iaitu KKM perlu segera menyemak status waranti bagi semua 136 unit peralatan ventilator selain memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian ujarnya, PAC mencadangkan wang berkenaan diguna dan ditambah oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan ketersediaan peralatan ventilator di seluruh hospital kerajaan.

“PAC juga dimaklumkan susulan syor, KKM telah mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan lebihan stok penutup boot dan ‘protective jumpsuit’ dapat digunakan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, KKM perlu memastikan stok pada kadar optimal bagi persediaan berlaku wabak atau pandemik,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Dewan Rakyat pada November tahun lalu dimaklumkan, KKM akan memastikan setiap proses perolehan, termasuk ketika darurat atau kecemasan, dilakukan dengan lebih cekap dan mengikut prosedur.

Dr Zaliha Mustafa yang ketika itu Menteri Kesihatan memberi jaminan kementerian itu akan menerima syor daripada PAC terutama bagi menambah baik pengurusan KKM.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28