Anwar kacau bubur bersama KRT Tambun

Anwar (dua dari kiri) menyantuni masyarakat setempat selepas menyempurnakan Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan KRT Taman Meru di sini pada Isnin.
Anwar (dua dari kiri) menyantuni masyarakat setempat selepas menyempurnakan Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan KRT Taman Meru di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Tambun mengedarkan 10,000 bekas bubur lambuk kepada penduduk setempat sempena Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan di Dewan KRT Taman Meru di sini pada Isnin.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Tambun yang menyempurnakan perasmian program tersebut.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu dilaksanakan di bawah Kluster Komuniti Rahmah selaras dengan komitmen kementerian dalam memperkasa Rukun Tetangga sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan serta kenegaraan pada peringkat akar umbi.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk memelihara dan merekayasa perpaduan di peringkat komuniti sebagai suatu pelonjak kepada pembangunan dan pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang dan harmoni.

"Dalam konteks ini, Rukun Tetangga memainkan peranan yang amat signifikan di peringkat komuniti khususnya di kala negara berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar (dua dari kiri) hadir menyempurnakan Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan KRT Taman Meru di sini pada Isnin.
Anwar (dua dari kiri) hadir menyempurnakan Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Penyampaian Sumbangan Rahmah Parlimen Tambun di Dewan KRT Taman Meru di sini pada Isnin.

Hadir sama pada program tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Aaron berkata, program tersebut melibatkan penyertaan seramai kira-kira 450 peserta terdiri daripada 20 KRT Parlimen Tambun, 10 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 30 periuk bubur lambuk digunakan dengan 10,000 bekas bubur diedarkan kepada penduduk sekitar Taman Meru di sini.

"Program seumpama ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan peranan KRT sebagai ejen penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif.

"Selain itu ia juga diharap dapat mencapai matlamat untuk membangunkan Komuniti Rahmah selaras dengan Aspirasi Membangun Masyarakat Madani," katanya.

Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan 150 sumbangan Kotak Rahmah dan lima buah kerusi roda.