Isteri menyusul 'pergi' 21 jam selepas suami, anak meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KENINGAU - Seorang lagi mangsa yang parah dalam kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda di Kilometer 16 Jalan Keningau-Apin-Api pada tengah malam Ahad telah disahkan meninggal dunia.

Chelrina Philip, 33, merupakan mangsa ketiga yang maut dalam kemalangan selain suami dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari yang sama iaitu kira-kira 21 jam selepas kemalangan itu berlaku.

"Mangsa sebelum ini mengalami kecederaan parah di kepala telah menerima rawatan di Hospital Keningau, namun dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 9 malam Ahad.

"Mangsa juga merupakan isteri kepada mangsa yang maut sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada pada Isnin.

Dalam kejadian tengah malam Ahad, Masino Gelong, 45, dan anaknya, Claeryina Macthildis berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat lagi anaknya tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah di kepala iaitu Camellia Mae, 11; Charlene Myra, 9; Mica Chelsino, 7; dan Mattheo Charbel, 2.

Dua lagi mangsa parah dalam kenderaan pacuan empat roda iaitu pemandu Dale Cahilap, 40, dan adiknya Jayvie, 31, masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan dada manakala rakan mereka Rafidah Justinus, 40, turut cedera dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan punca kemalangan ialah MPV yang dipandu Masino hilang kawalan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda di laluan tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28