273 sindiket dadah masuk perangkap polis

Razarudin ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Isnin. Foto Bernama
Razarudin ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sebanyak 273 sindiket pengedaran dadah tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memberkas seramai 908 individu serta merampas dadah bernilai RM482.95 juta tahun lalu.

"Sebanyak 179,865 tangkapan melibatkan 158,493 kes dibuat JSJN di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya dalam ucapan sambutan peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, pada Isnin.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Razarudin berkata, sebanyak 52,444 kes direkodkan menerusi statistik jenayah indeks negara pada tahun lalu.

"Dalam tempoh sama, Jabatan Siasatan Jenayah merekodkan 94.74 peratus tangkapan, 80.29 peratus penyelesaian kertas siasatan dan 58.71 peratus kadar pertuduhan ke atas kertas siasatan.

"Sepanjang tahun lalu, PDRM berjaya mengekalkan situasi keselamatan negara berada pada tahap yang amat baik dan terkawal," katanya.

Razarudin berkata, PDRM melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) pula telah menggerakkan kesemua elemennya meliputi darat, laut dan udara secara total dalam pelbagai operasi bersepadu khususnya melibatkan kawalan sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 5,646 tangkapan telah dibuat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM979.89 juta menerusi 7,355 kes yang dilaporkan pada tahun lalu.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 1,395 kes aktiviti penyeludupan direkodkan dan 1,364 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan penyeludupan termasuklah jenayah kontraban dengan nilai rampasan sejumlah RM508.76 juta," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha melindungi flora, fauna dan khazanah negara, PDRM menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) telah menjalankan 111 tangkapan.

"Ia melibatkan 73 kes dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM18.32 juta sepanjang tahun lalu," katanya.

Razarudin berkata, bagi jenayah komersial pula, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menjalankan 18,221 operasi dan memberkas seramai 22,911 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu.

"Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan demi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PDRM dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara," katanya.