Nazrin Nawi yakin pemain muda Kelantan mampu menyinar

Mohd Nazrin Mohd Nawi
Mohd Nazrin Mohd Nawi
A
A
A

PEMAIN sayap The Red Warrior (TRW), Mohd Nazrin Mohd Nawi yakin pasukan baharunya itu mampu menyinar walaupun dibarisi rata-rata 'ubi' muda pada saingan Liga Premier musim ini yang bakal berlangsung pada Februari depan.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, keyakinan itu hadir selepas TRW mengharungi dua perlawanan persahabatan pra-musim sebelum ini.

"Saya mengakui dapat merasakan aura berbeza apabila bermain di negeri kelahiran saya sendiri, terutamanya dibarisi pemain muda yang mempunyai kualiti dan mampu membawa pasukan TRW bersaing hebat, dengan pasukan lain.

"Mereka (pemain muda) mempunyai semangat luar biasa, sehingga mampu melakukan kejutan ke atas pasukan yang mempunyai nama besar pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan ia terbukti, ketika perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super, Kedah minggu lalu, yang mana keputusan memihak kepada kami," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Nazrin merupakan anak kelahiran Tumpat, Kelantan mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga-M, selepas menyertai beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United, Perak, Kuala Lumpur selain pernah bermain untuk pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain yakin dengan kemampuan ubi muda Kelantan, secara peribadinya dia menyifatkan musim ini sudah sampai masa bagi dirinya untuk berbakti kepada negeri kelahirannya itu.

"Semangat bermain untuk negeri kelahiran sangat berbeza, berbanding mewakili pasukan lain, oleh itu saya perlu menggunakan sepenuhnya pengalaman dan kemampuan yang dimiliki, bagi membalas kepercayaan pihak pengurusan pasukan dan peminat negeri Kelantan.

"Saya mempunyai sasaran peribadi musim ini, iaitu membantu pasukan kembali bersaing pada Liga Super selepas turun ke Liga Premier akibat prestasi tidak menentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam tempoh persiapan berbaki sebulan lebih, beliau mahu mempercepatkan keserasian dengan pemain muda pasukan TRW.

"Aspek keserasian pasukan amat penting, kerana setiap pemain perlu membantu antara satu sama lain baik pemain muda mahu pemain berpengalaman.

"Begitu juga saya dan rakan sepasukan lain perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan oleh barisan jurulatih," katanya. - Bernama