Bantuan tunai bulanan bantu rakyat belanja sistematik

Bantuan secara model pindahan tunai bulanan yang diputuskan kerajaan dijangka dapat membantu rakyat menguruskan perbelanjaan dengan lebih sistematik. Gambar kecil: Muhammad Faris, P Michael, Rizwan Othman
Bantuan secara model pindahan tunai bulanan yang diputuskan kerajaan dijangka dapat membantu rakyat menguruskan perbelanjaan dengan lebih sistematik. Gambar kecil: Muhammad Faris, P Michael, Rizwan Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan secara model pindahan tunai bulanan yang diputuskan kerajaan dijangka dapat membantu rakyat menguruskan perbelanjaan dengan lebih sistematik.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mengakui inisiatif tersebut memberi kesan positif kepada pengurusan kewangan masing-masing pada setiap bulan.

Bagi seorang pesara, P Michael Anthony Swammy, 64, inisiatif berkenaan lebih baik dilaksanakan setiap bulan berbanding selang beberapa bulan.

Ujarnya, wang tunai tersebut akan digunakan untuk menampung kos semasa disebabkan perbelanjaan harian atau mingguan semakin meningkat.

“Harga barang sekarang makin mahal, tiada satu barang pun yang turun harga. Pendapatan bulanan kita pun sikit, tak mampu nak tampung kos sara hidup sekarang.

Selain itu, bagi seorang juruteknik, Rizwan Othman, 33, bantuan tersebut boleh menjadi perbelanjaan tambahan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau sakit.

Tambahnya, ia akan mengurangkan beban setiap keluarga yang memerlukan.

“Bagus sebenarnya kerajaan nak bagi bantuan setiap bulan terutama kepada mereka yang ada anak kecil. Ubat-ubatan sekarang agak mahal kalau secara tiba-tiba anak demam atau jatuh sakit.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan ini boleh menampung perbelanjaan harian keluarga yang mungkin gajinya tidak mencukupi,” jelas bapa dua orang anak tersebut.

Sementara itu, bagi seorang guru, Muhammad Faris Fikri Mohd Fauzi, 29, bantuan secara bulanan tersebut banyak kebaikannya jika kerajaan benar-benar melaksanakannya.

“Kalau betul kerajaan nak laksanakan memang membantu rakyat. Harga barang semua meningkat, jadi inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan sehingga menunggu gaji seterusnya,” tambahnya.

Seorang jurujual, Ilman Hakim Syarulnizam, 22, mengakui bahawa bantuan secara model pindahan tunai bulanan berkenaan dapat membantu rakyat dalam golongan M40 atau B40.

“Saya harap, kerajaan boleh selaraskan pemberian bantuan itu sebagai contoh setiap orang akan dapat RM200 sebulan,” ujarnya.