X

Kindly register in order to view this article
!

PFA belum terkubur

Zamri (dua dari kiri) bergambar bersama jawatankuasa PFA baharu.
A
A

PIHAK pengurusan terbaharu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menafikan bahawa persatuan itu sudah pun terkubur.

Presiden PFA yang baharu, Zamri Ibrahim berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat meskipun persatuan itu kini sedang menjalani hukuman penggantungan daripada menyertai sebarang liga bola sepak dalam negara oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak awal tahun lalu.

Katanya, beliau bersama barisan jawatankuasa PFA bagi sesi 2020 masih lagi berjuang untuk menghidupkan kembali sukan bola sepak di negeri ini.

Menurutnya, walaupun digantung daripada menyertai sebarang liga dalam dan luar negara, itu bukan bererti PFA sudah pun lenyap.

"Kalau betul sudah terkubur, kita dah lama tutup buku dan tak akan ada Kongres Luar Biasa (EGM) PFA pada hari ini," katanya ketika sidang media di Majlis Sukan Negeri, hari ini.

Zamri berkata, pihaknya mengakui isu pergantungan bagi menyertai sebarang pertandingan.

"Namun begitu, pengurusan jawatankuasa baru ini akan bertemu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia bagi membincangkan langkah agar hukuman itu boleh diringankan melalui rayuan rasmi kepada FIFA," katanya.

Tambah Zamri, PFA tidak dapat menjana pendapatan sekiranya hukuman ini diteruskan.

"Bagaimana kita hendak cari wang jika semua aktiviti dan pertandingan PFA tidak boleh anjur dan sertai," katanya.

Zamri yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Presiden PFA juga berkata, di bawah pengurusan PFA yang baru, pihaknya mahu memberi fokus untuk menyelesaikan masalah dalaman terlebih dahulu sebelum melangkah ke peringkat pembentukan pasukan.

"Kita akan tumpukan dahulu masalah kewangan dan hutang PFA yang tertunggak sebelum kita bincangkan mengenai pasukan Singa Utara.

"Kita akan teliti semula semua tuntutan hutang yang betul-betul mematuhi kontrak dan selari dengan undang-undang menurut FAM.

"Ini kerana ada dalam kalangan penuntut hutang yang hanya mengemukakan angka tanpa dokumen yang lengkap," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada kejohanan Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020) di Johor nanti, PFA tetap menghantar pasukannya bagi menyertai kejohanan itu.

Barisan kepimpinan PFA yang baharu:

Presiden: Zamri Ibrahim

Timbalan Presiden: Abdul Ghafur Hanafi

Naib Presiden:

1. Afifi Osman

2. Adam Abdullah

3. Datuk Ismail Osman

Jawatankuasa Eksekutif:

1. Norshahril Bakar

2. Mohd Khomeini Halipah

3. Ahmad Shuhaimi Kassim

4. Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain

5. Mohd Norhanizam Hamzah

6. Saiful Adli Sukhaimi

7. Ku Hasnol Farid Ku Abd Rahman

8. Alzafry Abu Bakar

9. Faizal Ismail

10. Sabri Ismail


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!