Waktu malam jadi pilihan sindiket penyeludupan

Pemantauan serta rondaan dijalankan sepanjang tempoh Op Khas Pagar Laut. Gambar kecil: Muhammad Rasul
Pemantauan serta rondaan dijalankan sepanjang tempoh Op Khas Pagar Laut. Gambar kecil: Muhammad Rasul
A
A
A

KUALA SELANGOR - Taktik penyeludupan dipercayai bergerak aktif pada waktu malam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dengan adanya Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan bermula 12 Mac menyaksikan kegiatan mereka berjaya digagalkan menerusi rondaan dan pemantauan dijalankan.

Pegawai Pemerintah KM Danga, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rasul Abu Bakar Ah berkata, hasil risikan mendapati waktu malam antara menjadi pilihan penyeludup untuk menjalankan kegiatan jenayah berkenaan.

"Penguatkuasaan memang kita jalankan setiap masa malahan diperhebatkan, tambahan pula dengan adanya Op Khas Pagar Laut ini memang boleh dikatakan 24 jam operasi dijalankan.

"Setakat ini memang tidak ada sebarang kegiatan penyeludupan dikesan dan diharapkan perkara ini berkekalan bagi memastikan tiada pihak yang menjalankan jenayah berkenaan di perairan negara khususnya di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di KM Danga berdekatan perairan Kuala Selangor dekat sini pada Sabtu.

Menurutnya, selain penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), barangan melibatkan Akta Kawalan Bekalan turut menjadi pilihan sindiket untuk diseludup keluar dari negara ini.

"Antara barangan menjadi pilihan seperti gula, minyak masak, tong gas, malahan turut dikesan sebelum ini adalah serbuk minuman coklat, difahamkan kerana rasanya yang lebih sedap dan mempunyai harga di pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan sememangnya dijalankan 24 jam malahan diperhebatkan terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Rasul berkata, antara cabaran dihadapi dalam penugasan di lautan ialah dari segi faktor alam.

"Keadaan cuaca seperti yang kita sedia maklum sekarang ini panas, dan ia merupakan cabaran dihadapi anggota dalam melakukan pemeriksaan.

"Selain itu, keadaan laut yang tidak dijangka terutamanya ketika bergelora, namun semua ini diatasi dengan semangat kuat anggota dan pegawai yang bertugas," katanya.

Sinar Harian yang berpeluang mengikuti rondaan dijalankan Kapal Maritim Danga turut dibawa sekitar perairan Kuala Selangor berdekatan Pulau Angsa.

Rondaan turut melibatkan pemeriksaan ke atas bot nelayan di sekitar perairan berkenaan.

18 Mac lalu, Maritim Malaysia memaklumkan pihaknya melaksanakan Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan negara bermula 12 Mac sehingga 30 April sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pelaksanaan op berkenaan turut melibatkan kawasan titik panas di beberapa lokasi berkaitan.

Jelas beliau, operasi khas ini dijalankan dalam empat fasa bermula Fasa I iaitu persediaan iaitu pengumpulan maklumat dan siap siaga aset diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan.

Seterusnya diikuti Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan.