Perginya ikon pengarang Singapura

Allahyarham Suratman yang merupakan pemenang Anugerah Tun Seri Lanang, meninggal dunia 27 Februari lalu di Singapura pada usia 93 tahun.
Allahyarham Suratman yang merupakan pemenang Anugerah Tun Seri Lanang, meninggal dunia 27 Februari lalu di Singapura pada usia 93 tahun.
A
A
A

TANGGAL 27 Februari 2024 telah menghilang sebuah bintang yang menyinar langit sastera Nusantara dengan pemergian Suratman Markasan.

Beliau bukan sahaja dikagumi dan dihormati di negaranya Singapura tetapi juga di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Malah, menganggap Malaysia sebagai negaranya yang kedua. Apa sahaja kegiatan di Malaysia, Kuala Lumpur khasnya sasterawan ini akan muncul sebagai pemainnya atau hadir sebagai peserta.

“Di Singapura ini tiada kritikan, tiada pengkritik dan tiada yang menguasai teori,” itulah kata-katanya yang utama sewaktu kami bertemu pertama kalinya di Singapura. Dan kata-kata itu yang mengikat persahabatan kami berdua. Dan sering memikirkan bagaimana caranya untuk mengatasi hal tersebut.

Tahun 2000 saya mula bertugas di Singapura. Atas tuntutan untuk mengajar teori dan melahirkan suasana kritikan. Masuri S.N. adalah penyair pertama saya jemput menjadi panel pertandingan penulisan puisi di Nanyang Unviversiti.

Tidak lama kemudian Asas 50 menjemput saya berwacana dengan sastera. Di situlah saya mula berkenalan dengan Suratman Markasan. Sangat sederhana orangnya. Cara berpakaian, cara berkomunikasi dan cara makannya. Sering berjenaka tetapi serius dan pilu apabila mengenangkan Singapura berpisah dengan Malaysia.

Peristiwa itu bagaikan pisau yang memotong jantung warga Melayu Singapura. Banyak puisi dan teks yang lain yang ditulis oleh penulis Singapura menangisi tragedi malang itu. Mereka terasa tersisih dan terasing dengan abang kandungnya, Malaysia.

Saya mula melakukan penyelidikan dan bacaan terhadap kebanyakan karya penting penulis Singapura. “Tragedi yang sangat sadis itu menjadi tema utama penulis Singapura ini.” Kata Suratman Markasan, yang banyak mengenal ramai sasterawan dunia, apalagi sastera Nusantara.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana pun kami bangun dan membina warna sastera Singapura yang tersendiri. Alhamdulillah lama kelamaan kami mempunyai jati diri berdiri di kaki sendiri.”

Membaca puisi, cerpen dan novel Suratman Markasan akan terserlah kesegaran berkarya meruncup dengan hebatnya di negara itu.

Meski daripada sudut perubahan modenismenya apalagi pasca moden agak terlambat daripada Malaysia dan Indonesia, tetapi mereka dapat mengejarnya dengan pantas dan nekad.

Dalam pengamatan saya mengakui Singapura kekurangan kritikawan. Tulisan teoritis dan teori sastera, termasuk teori kritikan dan teori penulisan apalagi yang baru-baru, kurang didedahkan.

Tidak dinafikan perubahan haruslah diiringi kritikan yang sesuai dengan teks dan konteks sasteranya. Kritikan dinamik akan membantu ke arah sebuah perjalanan sastera yang positif.

Justeru, Suratman Markasan sentiasa menggerakkan pertemuan dan diskusi sastera untuk melonjakkan pencapaian sastera di Singapura. Sebagai pengarang Suratman Markasan menulis genre cerpen, novel, puisi dan esei sastera.

Suratman
Suratman

Beliau adalah penulis cerpen yang terbaik di Singapura. Dalam Matahari Kota, kebanyakannya berlatarbelakangkan masyarakat Melayu 1950-an yang serba kekurangan.

Dihadirkan Melayu jadi abdi di tangan penjajah, cerpen-cerpennya menyedarkan Melayu, bangun untuk merdeka. Aspirasinya menghadirkan sikap anti kolonialisme.

Dan kita yang kini sudah merdeka, melihatnya dengan pascakolonialisme, bahawa cerpen-cerpen itu mercu tanda perjuangan dan sastera menjadi wahana pembebasan.

Di sinilah Suratman Markasan memilih subjeknya, membina idealisme dan memegang visi karyanya.

Dekad 1960-an melalui kaca mata Kumpulan Dari Gerak dan Dialog, memungut sumber daripada kehidupan dan politik negara yang pasca merdeka. Kehidupan yang baru berubah, ada yang terhimpit dan tersepit, ada yang menyaksikan dunia positif dan optimistik.

Dengan kemerdekaan memberi warga dapat mencipta hidup lebih selesa. Perempuan Kerudung Hitam pula lebih kepada pengalaman peribadi, mengembara ke dunia luar secara zahiriah dan batiniah. Zahiriah ke Mekah al-Mukarramah dan batin ke negara Islam yang dicengkam perpecahan.

Novel-novelnya ialah Tak Ada Jalan Keluar,1962, Subuh Hilang Senja, 1989, Tiga Lelaki, 1994 dan Dunia Bukan Kita Punya, 2011. Subuh Hilang Senja mendapat kritikan yang lumayan dan resepsi yang baik dari khalayak.

Suara Suratman Markasan yang berhadapan dengan subjektiviti masyarakatnya, berasa tidak puas hati terhadap wujudnya diskriminasi dan ketidakadilan sosial. Dengan bijaksananya pengarang ini menggunakan lambang, ikon dan indeksikal untuk menyuarakannya, tetapi terasa keras dan lantang mesejnya.

Tiga Lelaki lebih kepada sebuah teks intertekstual yang menggabungkan beberapa buah cerpen untuk dinovelkan. Justeru adunannya begitu halus, sesuai, sinkronis dan paralel, ia semacam terlihat sebagai sebuah teks autobiografi pengarangnya.

Malah membacanya saya teringatkan kepada teks pascamodenisme James Joyce: Postscript: A Potrait of the Artist. Cuma dalam novel ini masih memakai poetic justice, maka hukum pengadilan sastera itu masih dianuti Suratman Markasan.

Novel Dunia Bukan Kita Punya dapat dianggap sebagai dialogikal antara beberapa orang tokoh agama, yang memperlihat pegangan, akidah, syariah, juga akhlak dan pakaian tasawufnya; dan yang menjadi terasnya ialah amal ma’ruf nahi mungkar.

Ia menyeru untuk kembali ke jalan lurus diredai ALLAH melalui wadah ilmu serta kesederhanaan berpandukan al-Quran dan Hadis.

Platfom keagamaan mampu untuk mendorong seseorang itu bersikap tanggungjawab dan tawaduk dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Lebih 1,000 kuntum puisi dihasilkannya sepanjang hayatnya. Melalui Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (2009) koleksi keseluruhan puisi yang dihasilkannya.

Membacanya bagaikan sebuah kebudayaan yang sedang hidup dengan nuansa tentang kegelisahan-kegelisahan sebuah lautan yang maha besar deburannya, tetapi tidak menempias dan menggelombangkan.

Dunia yang digambarkan Suratman Markasan suatu tanggapan realiti, tetapi dilakukannya bayangan dan penuh kontemplasi dengan segala gejala pemikiran dalaman orang Melayu yang kadang-kadang tidak diucapkan dan membina mitos-mitos orang-orang Melayu yang hilang dalam perjalanan sejarahnya.

Sewaktu saya menghasilkan Pengarang Unggul Nusantara (2007), saya memasukkan nama Masuri S.N. dan Suratman Makasan. Nama Suratman Markasan di belakang Masuri S.N. Suratman Markasan yang sudah mempunyai institusinya tersendiri, memiliki authorship of personality dan berjaya meletakkan dirinya dalam sejarah kanon yang indealistik dan unggul.

Kami sering bertemu, berbincang dan berwacana dengannya, kadang-kadang kami ke Johor Bahru untuk mencari buku baharu atau pergi makan-makan. Atas gesaannya, saya sempat menulis Sejarah Sastera Singapura (2003) dan Dunia Teori dan Kritikan Singapura (2005).

Sesuai dengan maqamnya di puncak persada, pelbagai Hadiah dan Anugerah diterimanya seperti Anugerah Tun Sri Lanang (1999), Anugerah Sastera Nusantara (1999), Anugerah Abdullah Munsyi (2010), Anugerah Pingat Budaya (2010), Anugerah Tokoh Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (2014) dan sebagainya. Tokoh besar yang menjadi ikonik pengarang Singapura ini telah membawa legasi ke dunia abadi. Semua pengarang dan khalayak sastera Singapura masih lagi bersedih atas pemergiannya. Terasa kekosongan yang besar dalam penulisan sastera Singapura mutakhir.

Berehatlah kawan, setelah mengabdi diri begitu lama demi untuk sastera Melayu Singapura. (Bacalah al-fatihah untuk Allahyarham Suratman Markasan sesiapa yang membaca tulisan ini).

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28