Pelajar maut dipukul: KPWKM hantar kaunselor bantu keluarga

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar kaunselor bagi membantu meredakan tekanan yang dihadapi keluarga seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemui maut dipukul.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu adalah prosedur biasa yang akan dilakukan pihaknya bagi menyantuni keluarga yang ditimpa musibah.

Menurutnya, KPWKM mempunyai ramai kaunselor berpengalaman di seluruh negara dalam mengendalikan sesuatu kes yang terjadi bagi membantu dari aspek emosi mereka.

"Itu memang prosedur biasa (lawatan kaunselor) sekiranya terjadi sesuatu dan kita akan menyantuni keluarga yang terlibat.

"Malah kita mempunyai ramai kaunselor yang mempunyai kemahiran serta kepakaran masing-masing diseluruh Malaysia dan mereka tahu bagaimana untuk mengendalikan kes-kes tertentu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway di sini pada Sabtu.

Nancy (empat dari kanan) bersama tetamu khas lain memasak bubur lambuk sempena Program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway yang diadakan di Wisma Anak-Anak Yatim Perempuan Pulau Pinang, di Jalan Scotland pada Sabtu.
Nancy (empat dari kanan) bersama tetamu khas lain memasak bubur lambuk sempena Program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway yang diadakan di Wisma Anak-Anak Yatim Perempuan Pulau Pinang, di Jalan Scotland pada Sabtu.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim dan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, seorang pelajar lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui oleh warden asrama yang bertugas pada jam 6.50 pagi dan dipercayai dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28