'Perpaduan rakyat hadiah paling bermakna' - Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah perpaduan rakyat berbilang kaum adalah hadiah yang paling bermakna buat baginda sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada Sabtu.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong bertitah keharmonian dan semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat tanpa mengira agama atau bangsa amat penting untuk kestabilan negara.

"Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, beta menerima hadiah kek, buah-buahan dan bunga. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua buah tangan yang diterima.

"Namun, hadiah yang paling bermakna bagi beta adalah perpaduan antara kaum kerana ia merupakan kunci kepada kemakmuran negara,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah di Johor, baginda sering menitikberatkan konsep Bangsa Johor yang kekal diamalkan sejak sekian lama dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

"Konsep Bangsa Johor adalah satu contoh yang baik, serta tunjang perpaduan dalam kalangan masyarakat,” titah Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong bertitah Yayasan-Yayasan Diraja Johor juga berperanan aktif dalam membantu rakyat pelbagai kaum di negeri itu.

"Begitu juga, Yayasan Sultan Ibrahim Johor yang menghulurkan pelbagai sumbangan secara berterusan dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Justeru, baginda amat mengalu-alukan jika ada pihak mahu menghulurkan sumbangan kepada Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan yayasan lain di seluruh negara untuk bersama-sama meringankan beban rakyat miskin. - Bernama