Ringgit didagangkan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah kepada 4.7340/7390 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7095 yang dicatatkan sebelum ini. Foto hiasan
Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah kepada 4.7340/7390 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7095 yang dicatatkan sebelum ini. Foto hiasan
A
A
A

[DIKEMAS KINI] RINGGIT dijangka diniagakan dalam jajaran kecil pada paras 4.73 hingga 4.74 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dengan analisis teknikal mencadangkan US/MYR berada dalam zon neutral, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Katanya, pemotongan kadar dasar sebanyak 25 mata asas kepada 1.50 peratus oleh Bank Negara Switzerland baru-baru ini telah mengukuhkan lagi dolar AS memandangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) tidak akan mengurangkan kadar itu dalam tempoh terdekat.

"Dalam agenda yang lebih besar, dolar AS benar-benar menonjol. Kenaikan kadar baru-baru ini oleh Bank of Japan juga gagal menaikkan yen Jepun kerana prospek untuk kadar yang lebih tinggi di Jepun masih tidak menentu," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata, dolar AS berada di titik terbaiknya.

"Kadar dana Fed semasa, yang kini berada pada 5.50 peratus, sememangnya memberikan kelebihan kepada dolar AS berhubung dengan perbezaan kadar faedah," tambahnya.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah kepada 4.7340/7390 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7095 yang dicatatkan sebelum ini.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.1223/1258 daripada 3.1637/1669, melonjak berbanding pound British kepada 5.9582/9645 daripada 6.0003/0060 dan meningkat berbanding euro pada 5.1203/1257 daripada 5.324.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga diniagakan lebih baik berbanding mata wang Asean.

Ia menambah nilai kepada 13.0116/0318 berbanding baht Thailand daripada 13.1480/1661 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.5106/5145 daripada 3.5183/5219.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 299.8/300.4 daripada 301.5/302.0 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.47/8.48. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28