KBS-MyCC jalin kerjasama bendung kartel tipuan bida

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha membendung kartel tipuan bida melibatkan tender di bawah kementerian itu bagi penjimatan kos.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga juga akan diteliti sama ada bebas daripada kartel tipuan bida atau collusion, selain aspek teknikal dan kewangan bagi mengelakkan ketirisan.

"KBS mahu mengingatkan pihak syarikat atau kontraktor supaya membuat pengisytiharan non-collusion dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan di KBS. Kita tidak mahu kos meningkat kerana isu kartel ini.

"Sekiranya jawatankuasa berasa ada yang tak kena dalam bidaan, MyCC akan diaktifkan. MyCC akan meneliti kenapa semua bidaan ini harga dan butiran lain hampir sama kerana kita nak proses ini telus serta kerja itu diberi kepada pihak yang betul-betul mampu melaksanakannya,” katanya pada sidang media di Menara KBS di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tiga fokus utama kerjasama itu adalah advokasi mengenai antipersaingan, nasihat polisi daripada pihak MyCC, dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes disyaki menjadi pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010 untuk penyiasatan lanjut.

Hannah berkata, berikutan peruntukan untuk KBS adalah kecil, setiap penjimatan penting untuk menggunakan dana itu bagi pembangunan sukan dan menaik taraf kemudahan di bawah kementerian itu.

Beliau turut memberikan peringatan bahawa syarat sama diguna pakai kepada persatuan sukan dan syarikat dalam permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) untuk penganjuran pertandingan sukan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

"Dalam jawatankuasa (GPS) juga kita sedang memerhatikan trend permohonan supaya tiada kartel, jika ada, KBS, akan melaporkan kepada SPRM. Seperti yang saya katakan, tahun ini adalah tahun pembersihan, tahun lepas ada pembaharuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, pihaknya boleh mengenakan penalti 10 peratus daripada pendapatan tender atau menyarankan kepada Kementerian Kewangan untuk menyenaraihitamkan syarikat untuk tempoh beberapa tahun jika didapati bersalah.

"Kartel tipuan bida ini telah banyak berlaku di Malaysia, kami sedang menyiasat lebih 500 syarikat melibatkan tender melebihi RM3 bilion. Jadi, kami berharap agar pihak berkenaan, terutamanya kementerian lain dapat memberi kerjasama seperti KBS,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh lapan syarikat telah dikenakan denda sebanyak RM1.5 juta kerana kesalahan bersekongkol tipu bida projek Teknologi Maklumat (IT) melibatkan kos RM2 juta. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28