'Belum ada keputusan BN jalin kerjasama parti lain atau tidak pada PRN Sabah'

Mohamad (kanan) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan pada Ahad.
Mohamad (kanan) ketika menyampaikan sumbangan berkenaan pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertanding secara sendirian atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan diputuskan di peringkat pusat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini tiada sebarang keputusan mengenainya dibuat.

"BN Sabah perlu mengemukakan cadangan kepada kepimpinan pusat jika mahu bekerjasama dengan mana-mana parti, walaupun UMNO Sabah ada autonomi mentadbir tetapi dalam soal pilihan raya, ia perlu mendapat kelulusan daripada ibu pejabat.

"Ibu pejabat yang akan menentukan hala tuju parti BN, jadi pakatlah elok-elok kepimpinan UMNO dan parti komponen di Sabah sebelum ibu pejabat memutuskan sebarang keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan di Masjid Kariah Kampung Siliau, Rantau pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai berkata, partinya dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sekiranya kerjasama dengan team A BN boleh menang dan sebaliknya ia akan dipersetujui dengan keputusan tersebut.

"Tetapi kalau bersendirian rasa dah kuat, boleh juga bersendirian tetapi BN Sabah mesti mendapat nasihat dan kata putus dari ibu pejabat," katanya.

Artikel Berkaitan: