Kerajaan pergiat libat urus syarikat korporat galak aliran masuk dana ke pasaran pertukaran asing

Anwar
Anwar
A
A
A

KERAJAAN dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mempergiat libat urus dengan pihak korporat, termasuk pengeksport, pengimport, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) untuk menggalakkan aliran masuk dana ke pasaran pertukaran asing tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang diadakan hari ini, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour memaklumkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus bertambah baik.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang diselaraskan antara kerajaan, BNM, GLIC dan GLC serta unjuran yang diumumkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) semalam.

Beliau berkata, unjuran tersebut menunjukkan bahawa kadar inflasi AS yang lebih terkawal dan pelan utuh normalisasi dasar monetarinya pada tahun ini akan mengekang kenaikan dolar AS.

"Sejak memulakan operasi bersama (inisiatif itu), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 1.4 peratus kepada 4.7135 hari ini daripada 4.7773 pada 23 Februari, 2024.

"Namun begitu, ketidaktentuan pasaran kewangan global akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang ringgit selagi tindakan dasar monetari ekonomi-ekonomi maju masih tidak jelas,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman sosial X rasminya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘New Deal For Business’ (NDFB) menerusi penambahbaikan kecekapan proses dan prosedur serta pelaksanaan reformasi struktur dalam menjalankan perniagaan.

Beliau berkata mesyuarat MTEN hari ini juga telah meneliti secara mendalam cadangan NDFB itu yang bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan pelabur serta melonjakkan pertumbuhan produktiviti, daya saing dan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan semua inisiatif NDFB,” kata Anwar.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai ‘Pengukuhan Kerangka Jaminan Pendapatan Usia Tua di Malaysia’ yang menumpukan kepada isu penuaan serta kesannya, termasuk persediaan negara dalam menyediakan jaminan pendapatan usia tua.

Justeru, mesyuarat itu memutuskan satu kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi menambah baik kerangka jaminan pendapatan usia tua di Malaysia agar lebih holistik, kata Perdana Menteri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!