MPOGCF meterai dua MoA dengan UPM, Sabah Softwoods Berhad

Hairulazim (dua dari kiri); Mohd Daud (tengah) dan Dr Anjas Asmara (dua dari kanan) pada majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah pada Khamis.
Hairulazim (dua dari kiri); Mohd Daud (tengah) dan Dr Anjas Asmara (dua dari kanan) pada majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah pada Khamis.
A
A
A

MALAYSIAN Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan dua rakan strategik iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabah Softwoods Berhad (SSB) bagi ‘Guidelines For Biodiversity-Friendly Plantation’ dan projek kajian ‘Bornean Elephant Grass Planting’.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, penerbitan garis panduan mesra biodiversiti merupakan projek pertama yayasan bersama UPM.

Menurutnya, ia dijadualkan mengambil mengambil masa setahun dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM298,462.50 yang disalurkan MPOGCF.

“Penerbitan garis panduan berkenaan akan melibatkan beberapa aktiviti kajian lapangan untuk verifikasi dapatan kajian, seminar dan bengkel untuk para penulis membincangkan perincian kandungan garis panduan dan aktiviti editorial ikhtisas untuk kumpulan penyunting.

“Justeru, adalah menjadi harapan MPOGCF agar garis panduan ini dapat membantu industri sawit Malaysia dalam menguruskan ladang kelapa sawit mampan yang mesra hidupan liar.

“Inisiatif ini sekali gus berupaya menangani konflik manusia dan hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit bagi mencapai matlamat kehidupan bersama secara harmoni tanpa menjejaskan hasil minyak sawit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pertukaran MoA tersebut dilakukan antara Hairulazim dan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM, Profesor Dr Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin.

Sementara itu, MoA kedua adalah bagi projek kajian Bornean Elephant Grass Planting antara MPOGCF, UPM dan Sabah Softwoods Berhad.

Artikel Berkaitan:

Hairulazim (dua dari kiri); Mohd Daud (empat dari kiri) dan Dr Anjas Asmara (empat dari kanan) pada majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah. Turut kelihatan, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah, Augustine Tuuga (tiga dari kiri).
Hairulazim (dua dari kiri); Mohd Daud (empat dari kiri) dan Dr Anjas Asmara (empat dari kanan) pada majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah. Turut kelihatan, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah, Augustine Tuuga (tiga dari kiri).

Hairulazim berkata, MPOGCF telah meluluskan peruntukan berjumlah RM451,818 dan tempoh kajian adalah selama dua tahun, bermula tahun ini.

Menurutnya, objektif kajian itu akan diketuai oleh pensyarah dari UPM, Profesor Madya Dr Hasliza Abu Hassim untuk menentukan ciri kaedah penanaman dan komposisi pemakanan rumput Napier.

“Seterusnya untuk menilai dan mengemaskini keberkesanan penggunaan koridor yang ditanam dengan rumput Napier dalam mempengaruhi pergerakan kumpulan gajah.

“Koridor ini telah diwujudkan oleh syarikat SSB dengan inisiatif kerjasama World Wild Fund (WWF) Malaysia bagi menghubungkan Hutan Simpan Ulu Kalumpang di bahagian tenggara selatan dan Hutan Simpan Ulu Segama yang terletak di bahagian utara,” jelasnya.

Katanya, kewujudan koridor itu membolehkan pergerakan spesies hidupan liar yang terancam terutamanya gajah pigmi Borneo dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain.

Hairulazim (kiri) pada sidang media selepas majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah pada Khamis.
Hairulazim (kiri) pada sidang media selepas majlis pertukaran MoA di Pejabat Penanaman Pokok Pusat Sabah Softwoods Berhad di Brumas, Tawau, Sabah pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa projek tersebut turut memberi penekanan untuk membantu membina kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda Malaysia dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar di Sabah melalui pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti tempatan.

“Besar harapan kami di MPOGCF agar projek kajian ini dapat membantu pihak berkepentingan terutamanya Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah untuk mendapatkan maklumat kajian terkini mengenai pergerakan dan populasi spesies gajah.

“Ia bertujuan bagi mewujudkan pelan tindakan seterusnya untuk mendapatkan hala tuju dan panduan strategi, keutamaan dan tindakan pemuliharaan spesies terancam ini di peringkat negeri,” ujar Hairulazim.

Bagi MoA berkenaan dilakukan antara Hairulazim dengan Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Haji Mohd Daud Tampokong dan Anjas Asmara.

Projek kajian itu yang dijalankan oleh empat ahli akademik dari UPM dengan diketuai Hasliza serta dianggotai Profesor Madya Dr Hafandi Ahmad, Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan dan Dr Mohd Huzairi Mohd Zainudin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28