UiTM libas UPM

Pasukan UiTM juara antara regu selepas berjaya menewaskan UPM.
Pasukan UiTM juara antara regu selepas berjaya menewaskan UPM.
A
A
A

SERVIS berbisa antara dua tekong Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mencuri tumpuan perlawanan akhir acara antara regu Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) 2023 di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, pada Ahad.

Pengalaman akhirnya berpihak kepada tekong UiTM, Zuhri Zin yang dibarakan Muhamad Aniq Ikmal Rohaizam, Muhammad Aqil Fawwaz Nasharuddin apabila menewaskan UPM, 21-18, 17-21, 22-20 dalam perlawanan akhir.

Gandingan Zuhri, tekong kebangsaan yang memenangi perak di Sukan SEA Vietnam 2022, diapit Ariq Ikmal dan Aqil Fawwaz sebelum itu bukan calon utama merangkul kejuaraan.

Gandingan UPM yang beraksi dalam Liga Sepak Takraw (STL) terdiri daripada tekong Najmi Shahfiq tekong pelatih skuad negara, diapit Khairul Hafifi Tajudin dan Nazhan Noor Zamri memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan.

UPM memasukkan perejam, Nur Haziq Norali menggantikan Nazhan setelah tewas set pertama 18-21 menyaksikan percaturan membuahkan hasil apabila mereka berjaya bangkit untuk menang set kedua.

Bagaimanapun, pada set penentuan, saingan lebih getir apabila Haziq melakukan kesilapan memberikan mata kemenangan kepada UiTM, 22-20, sekali gus muncul juara edisi pertama kejohanan ini.

UPM tidak pulang tangan kosong apabila mengungguli perlawanan akhir acara double selepas Ahmad Badrie Amin dan Wan Muhammad Syazwan Wan Mohd Asri menjinakkan UiTM, 21-23, 21-16, 21-13 dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, penganjuran VSL membolehkan kontinjen negara melakukan persiapan awal untuk temasya Sukan Universiti Asean (AUG) Surabaya/Malang 2024 tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Penganjuran VSL secara tidak langsung membolehkan seramai 30 pemain dipilih menyertai latihan pasukan kebangsaan sebagai persediaan ke AUG 2024.

"Pasukan negara mahu melakukan persiapan lebih awal untuk membentuk kemantapan regu dalam menyaingi Thailand.

"Edisi Ubon Ratchathani, regu negara tewas kepada tuan rumah. Dan kali ini saya berharap permainan mampu memberikan daya tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!