PRN Sabah: Shahelmey akui akan aktifkan Akta Anti Lompat Parti

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Golden Centre Putatan.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Golden Centre Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui perlu mengosongkan kerusi Parlimen jika beliau ingin terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan bertanding atas tiket parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Bagaimanapun, Shahelmey berkata, buat masa ini belum ada keputusan mengenainya dan beliau sedang fokus untuk menyelesaikan isu air dan jalan raya yang menjadi tanggungjawabnya sebagai Menteri Kerja Raya Sabah ketika ini.

"Betul sebab sekiranya saya membuat keputusan untuk bertanding pada PRN dan menggunakan parti lain maka itu menyebabkan saya mengaktifkan Akta Anti Lompat Parti sebab saya juga sekarang adalah seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

"Apa Datuk Bung Moktar Radin (Ketua UMNO Sabah) kata 'rule is rule', undang-undang adalah undang-undang. Tetapi kita ada lebih setahun setengah lagi untuk menemui saat dan ketika itu, jadi apa yang lebih baik sekarang adalah melakukan kerja meneruskan fokus kepada kerja-kerja yang diberi mandat oleh rakyat dan kerajaan.

"Bila sampai waktunya nanti, saya akan buat keputusan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Golden Centre di sini pada petang Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bung Moktar baru-baru ini bahawa PRN Sabah mungkin akan menyaksikan pemilihan serentak membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan.

Diminta mengulas lanjut adakah beliau bersedia untuk menyertai mana-mana parti ketika ini, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri memaklumkan beliau belum ke arah sedemikian.

"Belum lagi. Saya fokus (selesai isu) air dan jalan raya," katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Shahelmey yang menyandang kerusi Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat digantung keahlian dalam UMNO selepas bertindak menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun lalu.

Susulan keputusan UMNO yang menggantung keahliannya menyebabkan beliau tidak boleh bertanding pada PRN akan datang bagi mengekalkan kerusi yang disandang melainkan terpaksa keluar daripada UMNO untuk bertanding atas tiket parti lain.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28