Pelajar kolej maut nahas selepas bersahur

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto kecil: Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto kecil: Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa.
A
A
A

JASIN - Seorang pelajar Kolej Komuniti Jasin maut dalam kemalangan selepas pulang dari bersahur bersama rakannya di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, di sini, pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 5.13 pagi, mangsa Ibrahim Mohd Adham, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata, mangsa yang beralamat di Bandar Baru Bangi, Selangor dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Merlimau, selepas bersahur dengan rakannya yang menunggang motosikal lain.

Menurutnya, bagaimanapun setiba di lokasi kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115z dipercayai gagal mengawal motosikal terbabit lalu terbabas dan mangsa tercampak ke tepi jalan.

"Berdasarkan maklumat rakannya, mereka baharu bersahur berdua dan mahu pulang ke rumah.

"Ketika kejadian rakannya itu berada jauh di depan dan tidak nampak kejadian menimpa mangsa yang juga merupakan pelajar semester satu di kolej itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Ujarnya, proses bedah siasat akan dijalankan pagi ini manakala keluarga mangsa yang berada di Selangor telah dimaklumkan mengenai insiden menimpa mangsa dan mereka dalam perjalanan untuk menuntut jenazah mangsa.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28