Kebakaran Mydin Manjoi berpunca panel pembahagi elektrik

Nor Hisham
Nor Hisham
A
A
A

IPOH - Kebakaran Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi pada 10 Mac lalu berpunca daripada panel pembahagi elektrik di bilik stor tingkat atas premis berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu disahkan menerusi hasil siasatan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat JBPM.

"Kita sudah selesaikan siasatan untuk kes kebakaran Mydin di Manjoi yang diambil oleh ibu pejabat dan kita sudah kenal pasti punca kejadian itu.

"Punca utama kejadian yang berlaku di bilik stor itu membabitkan salah satu daripada panel pembahagi elektrik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Nor Hisham (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Perak di Ipoh.
Nor Hisham (dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Perak di Ipoh.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Menurut Nor Hisham, pihaknya telah mengenal pasti kaedah atau prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditambah baik susulan kejadian itu.

Tambah beliau, elemen utama yang harus dilihat adalah kawalan terhadap pemasangan panel solar yang dilihat mengganggu usaha pemadaman api.

Artikel Berkaitan:

"Pemasangan panel solar di bumbung kalau bercantum secara berterusan menyebabkan kita tidak boleh buat pengudaraan secara tebukan manual.

"Dalam kes Mydin itu mereka menggunakan pengudaraan mekanikal. Perkara itu menjadi kebimbangan kerana ia menyukarkan kita untuk kesan api dan membuat pengudaraan.

"Jadi salah satu yang kita kenal pasti bagaimana membuat pemecahan kepada saiz panel supaya ia tidak menghalang usaha-usaha pasukan untuk buat pengudaraan apabila berlaku kebakaran," katanya.

Kata Nor Hisham, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia untuk menetapkan SOP berhubung saiz dan kelompok panel solar yang dipasang di rumah atau premis.

Sinar Harian melaporkan bomba menerima laporan kejadian kebakaran itu pada jam 7.09 malam melibatkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya.

Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.

Bagaimanapun siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur pembakaran sengaja yang boleh dikaitkan dengan jenayah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28