Air mata Fasha Sandha

Fasha menegaskan tidak pernah berniat mendedahkan kisah lama bagi menarik perhatian mahupun mengundang simpati.
Fasha menegaskan tidak pernah berniat mendedahkan kisah lama bagi menarik perhatian mahupun mengundang simpati.
A
A
A

AKTRES Fasha Sandha tidak dapat menahan sebak tatkala terkenang kenangan menetap di rumah anak yatim ketika masih kecil.

Jelas Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, dia tinggal di rumah anak yatim berkenaan pada usia lima tahun selepas ibunya, Hatijah Teh Man menjadi penjaga di situ.

Walaupun hanya menetap hampir dua tahun, wanita yang bakal menginjak ke usia 40 tahun itu menyimpan banyak pengalaman suka dan duka.

Fasha Sandha tidak dapat menahan sebak tatkala terkenang kenangan menetap di rumah anak yatim ketika masih kecil.
Fasha Sandha tidak dapat menahan sebak tatkala terkenang kenangan menetap di rumah anak yatim ketika masih kecil.

"Ketika saya berusia lima tahun, mama menjadi penjaga di rumah anak-anak yatim dan saya bersama adik-beradik turut menetap di situ untuk tempoh setahun setengah.

"Pada masa itu, bukan mudah besarkan anak sebagai ibu tunggal atau lebih dikenali sebagai janda kerana dahulu golongan wanita seperti ini dipandang skeptikal atau tidak dipandang tinggi seperti sekarang.

"Walaupun mama ibu tunggal, tetapi dia tidak pernah gagal memberikan kami cukup makan. Setiap hari mama akan bekalkan kami donat dan kayuh basikal sejauh tiga kilometer untuk hantar kami ke sekolah," katanya yang tidak dapat menahan air mata tatkala mengimbau kenangan lama itu.

Artikel Berkaitan:

Fasha meluangkan masa untuk bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada 1,000 anak yatim di Alfaro Mall pada Selasa.
Fasha meluangkan masa untuk bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada 1,000 anak yatim di Alfaro Mall pada Selasa.

Tegas Fasha, dia sama sekali tidak berniat untuk membuka kisah lama itu bagi mencari perhatian, jauh sekali mengundang simpati.

Namun berharap cerita itu dapat memberi inspirasi kepada wanita yang senasib untuk terus cekal mengharungi saat sukar.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, pengalaman itu juga menjadikan dia sebagai individu yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki.

"Ketika saya menjadi ibu tunggal selama tiga tahun, saya tidak rasa kesukaran itu seperti yang mama lalui dulu kerana saya berkerjaya.

"Atas sebab itu, saya sangat galakkan setiap wanita supaya bekerja, walaupun menjadi suri rumah. Bila wanita bekerjaya, kita tidak akan ditindas, apa pun terjadi, kita akan tetap kuat.

"Saya ambil pendekatan apa yang mama lalui ketika saya kecil sebagai semangat untuk saya bekerja keras," ujarnya.

Fasha bersama pengasas Alfaro, Farooq Ahmed (kiri) dan Pengarah Pemasaran Alfaro, Muhammad Irfan.
Fasha bersama pengasas Alfaro, Farooq Ahmed (kiri) dan Pengarah Pemasaran Alfaro, Muhammad Irfan.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sumbangan kepada 1,000 anak yatim bersama jenama tekstil terkemuka Alfaro di Alfaro Mall, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada majlis itu, Fasha selaku duta Alfaro menyampaikan sumbangan 1,000 pasang pakaian kepada anak-anak yatim dari seluruh Lembah Klang.

Menurut bintang Rampas Cintaku itu, meskipun sibuk dengan penggambaran, dia cuba meluangkan masa menyantuni anak-anak yatim berkenaan.

"Rasa sebak bila lihat anak-anak yang masih kecil itu sebab mengingatkan kenangan ketika saya kecil.

"Dalam masa sama, seronok sebab dapat bersama-sama Alfaro mengagihkan sumbangan pada mereka. Walaupun saya sibuk dengan penggambaran dan masa terhad, tetapi saya bersyukur kerana dapat turut serta," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28