Cadangan kurang acara Komanwel 2026 tidak realistik

Pekan
Pekan
A
A
A

ISU kewajaran Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 semakin 'hangat' diperbincangkan, apabila pelbagai pihak tampil dengan pendapat berbeza sehingga menimbulkan persoalan baharu, di mana prestij temasya empat tahun sekali itu sekiranya Malaysia mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara?

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata cadangan pengurangan acara sukan itu tidak realistik, apabila Malaysia dilihat seolah-olah mahu merendahkan taraf temasya kedua terbesar selepas Sukan Olimpik, yang turut diadakan empat tahun sekali itu.

Selain yakin cadangan berkenaan bukanlah yang dimahukan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), dengan Malaysia yang berkemungkinan disifatkan menganjurkan temasya berkenaan sebagai 'cukup syarat', bagi mengisi slot hos diberikan badan induk dunia itu.

“Sukan (Komanwel) ini tahap apa? Sukan SEA pun lebih banyak acara (jadi kalau terima) ia seolah-olah sekadar nak mengadakan sahaja, kalau kita nak menjaga imej negara kita perlu penuhi tuntutan CGF. Saya tidak rasa CGF kata 10 acara sudah cukup asalkan Malaysia buat, (jadi) ia satu keputusan (kurang baik) dari kita.

“... dan saya nampak cadangan (kurangkan acara) tidak praktikal, kerana kalau nak kecilkan daripada 20 acara di Birmingham 2022 kepada 17 atau 18 (di Malaysia) lebih baik, tetapi kalau sampai 10 atau 11 sahaja tidak nampak level Sukan Komanwel. (Mungkin) pandangan negara Komanwel (lain) negatif apabila (atlet) sukan pasti sudah bersedia untuk (sertai) 17 atau 18 acara,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib semalam berkata, Sukan Komanwel boleh dianjurkan dalam skala rendah, dengan mengurangkan bilangan sukan sehingga serendah 10 acara, meninggalkan upacara pembukaan dan penutup yang gah, serta tanpa membina kemudahan dan kampung sukan baharu untuk pengurangan ketara kos penganjuran.

Pekan turut merasakan nama baik Malaysia tidak akan tercemar, sekiranya menolak menjadi tuan rumah berdasarkan alasan kukuh dimiliki dengan keadaan ekonomi tidak menentu, selain waktu terbatas untuk membuat persiapan sebaiknya.

Beliau berkata, Malaysia perlulah 'ukur baju di badan sendiri' selain mempunyai prinsip 'biar lambat asal selamat', dengan cuba menawarkan diri menjadi tuan rumah buat kali kedua ketika benar-benar bersedia pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak nampak satu kerisauan (kalau tolak tawaran) sebab CGF bukan menawarkan kepada kita sahaja, ia bukan eksklusif tetapi kepada Singapura dan (negara) CGF lain (dan) andai menolak atas sebab tertentu dengan keupayaan kita (yang) tidak baik waktu ini, keadaan tidak sesuai keadaan ekonomi masyarakat susah sikit waktu ini.

“(Saya tidak rasa) CGF akan ban ataupun tidak bagi peluang (Malaysia) anjur Komanwel (masa depan). Kalau (nanti) kita benar-benar bersedia (boleh lalui) proses penawaran (dan) tunjuk berkeupayaan, selain mampu (anjur) Sukan Komanwel (pasti tiada masalah). Ia bukan peluang sekali hidup, ia tidak wujud,” katanya yang turut menegaskan penganjuran sukan itu sepatutnya mengeratkan hubungan rakyat Malaysia.

Ditanya mengenai kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah bersama Singapura, Pekan berkata, ia memerlukan perbincangan holistik segera bersama negara berkenaan, bagi mengetahui sekiranya mereka mahu bekerjasama untuk mengurangkan beban satu sama lain.

"Ini peluang kita (mungkin) nampak idea ini tiba-tiba sahaja muncul, sebab sebelum ini kita tidak tahu Singapura ditawarkan (jadi ia) pilihan baik. Malaysia dan Singapura sama-sama tanggung beban dan risiko cuma perlu perbincangan kena cepat sebab nak dekat keputusan Kabinet," katanya.

Victoria, Australia yang sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, menarik diri pada Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Berikutan itu CGF menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia, yang pernah menjadi tuan rumah pada 1998 dan negara anggota lain untuk menyelamatkan sukan empat tahun sekali itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan semua aspek akan dipertimbangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini, sebelum keputusan berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026 dimuktamadkan.

Hannah bagaimanapun menjangka pengumuman keputusan itu mungkin mengambil masa, sekiranya maklumat tambahan diperlukan dalam pertimbangan tawaran berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!