'Media arus perdana harus patuh etika kewartawanan'

A Kadir menyampaikan Dialog Bina: Membina Budaya Tinggi Dalam Aktivisme Politik Melayu anjuran Akademi Bina Bangsa (ABB) hari ini. - Foto Bernama
A Kadir menyampaikan Dialog Bina: Membina Budaya Tinggi Dalam Aktivisme Politik Melayu anjuran Akademi Bina Bangsa (ABB) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Media arus perdana harus mematuhi etika asas kewartawanan dalam menghasilkan sesebuah berita supaya maklumat yang disampaikan itu benar-benar sahih dan tepat.

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, media arus perdana kini dilihat terikut-ikut dengan budaya media sosial yang melahirkan sesuatu berita tanpa mendapatkan sumber sahih.

“Bahayanya saya lihat ada media arus perdana atau media yang mempunyai pengarang, sudah terikut dengan tabiat media sosial (menyiarkan berita tanpa bukti sahih), malah saya lihat ada media arus perdana yang memetik daripada sumber media sosial, yang tidak disahkan dengan secukupnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan Dialog Bina: Membina Budaya Tinggi Dalam Aktivisme Politik Melayu, anjuran Akademi Bina Bangsa (ABB), di sini hari ini.

Dialog tersebut dianjurkan bersempena kursus pengendalian media sosial, anjuran ABB.

A Kadir yang juga wartawan veteran berkata, beliau memahami kekangan yang dihadapi media arus perdana dalam melahirkan berita setiap hari, khususnya disebabkan pengurangan kakitangan, namun etika kewartawanan dalam kalangan pengamal media arus perdana, harus dipertahankan.

“Dalam pada itu, saya juga mencadangkan masyarakat dan penggiat media sosial, terutamanya dalam kalangan parti politik supaya mula membaca semula media arus perdana, kerana terdapat maklumat bertanggungjawab di dalam media arus perdana.

“Bukan hanya dengan menulis perkara yang terlintas di fikiran kita, tanpa sebarang bukti dan sokongan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: