Ops Pantau: KPDN Pahang ambil tindakan terhadap 4 peniaga

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah bazar Ramadan dalam Ops Pantau 2024 di negeri ini.
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah bazar Ramadan dalam Ops Pantau 2024 di negeri ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang memeriksa 1,619 premis di negeri ini sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan Ops Pantau 2024.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, premis diperiksa terdiri bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, premis menyediakan bufet Ramadan dan aktiviti jualan dalam talian yang menjadi tumpuan.

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah pasar raya dalam Ops Pantau 2024 di negeri ini.
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah pasar raya dalam Ops Pantau 2024 di negeri ini.

Menurutnya, dalam tempoh itu, KPDN Pahang turut menerima dan menyiasat enam aduan berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan, penggunaan alat timbang dan sukat, perihal halal dan barang tiruan.

"KPDN Pahang telah mengambil tindakan terhadap empat peniaga di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Tindakan amaran dikeluarkan terhadap peniaga yang mempamerkan tanda harga barangan jualan tidak jelas," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Jezlily berkata, pihaknya telah menggerakkan 137 anggota penguat kuasa di seluruh Pahang bagi melaksanakan penguatkuasaan bersasar sepanjang bulan Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri melalui Ops Pantau 2024.

KPDN Pahang memeriksa 1,619 premis di negeri ini sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan Ops Pantau 2024.
KPDN Pahang memeriksa 1,619 premis di negeri ini sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan Ops Pantau 2024.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan Ops Pantau ini berkuat kuasa bermula 12 Mac lalu dan antara fokusnya berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.

"Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Jelas beliau, KPDN Pahang turut menjalankan operasi bersepadu bersama agensi dan jabatan penguatkuasaan lain sepanjang pelaksanaan Ops Pantau kali ini termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Kesihatan Daerah(PKD) Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (Jaip) dan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"KPDN mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan.

"Amalkan amalan perniagaan beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28