KDA FC diingatkan tidak belanja melebihi kemampuan

Muhammad Radhi (kiri) pada Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan anjuran Pasar Raya Mydin di Taman Saga, Alor Setar pada petang Isnin.
Muhammad Radhi (kiri) pada Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan anjuran Pasar Raya Mydin di Taman Saga, Alor Setar pada petang Isnin.
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) diingatkan agar menguruskan perbelanjaan menghadapi Liga Malaysia 2024-2025 dengan baik dan berhemah agar masalah tunggakan gaji yang berlaku pada musim lalu tidak berulang.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, barisan penaja yang akan bersama Sang Kenari pada musim baru ini juga diharapkan membantu dan mengikut terma-terma syarat dijanjikan agar fokus pemain tidak terganggu semasa saingan liga berlangsung.

Menurut bekas pemain dan jurulatih Kedah itu, KDA FC tidak perlu terikut-ikut dengan pasukan lain berbelanja besar bagi mendapatkan pemain bintang sehingga akhirnya membebankan kewangan mereka.

“Kadang-kadang kita terikut dengan usaha pasukan lain dan pastilah tiada mana-mana pasukan yang tak mahu bila liga bermula, pasukan dibelasah.

“Mesti ada niat masing-masing nak memperkuatkan pasukan tapi dalam masa yang sama kita kena menilai tentang keupayaan kelab masing-masing

“Sebab sejarah yang berlaku hari ini, kadang-kadang kita berbelanja melebihi atau keluar daripada keupayaan menyebabkan kita tak mampu untuk membayar gaji, mengurus pasukan sehingga habis musim,” katanya pada petang Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan anjuran Pasar Raya Mydin di Taman Saga, Alor Setar.

Muhammad Radhi berkata, barisan penaja juga perlu menunaikan janji dengan membuat pembayaran seperti ditetapkan bagi melancarkan pengurusan kelab sepanjang musim.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpendapat, terdapat penaja yang gagal melakukan perkara tersebut dan akhirnya memberikan kesan kepada perjalanan KDA FC serta kelab-kelab lain sebelum ini.

"(Akhirnya) jadi terpaksa kembali kepada (kerajaan) negeri. Memang dah terputus dah hubungan negeri (dengan kelab) sebab bila kita bentuk syarikat, mereka yang menguruskan kelab.

“Macam di Kedah pun, ada keinginan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (untuk membantu) tapi dari sudut hubungan memang kita dah terputus di situ.

“Kita mengharapkan agar barisan penaja dapat menunaikan janji mereka supaya isu-isu gaji seperti ini tidak akan berulang,” ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!