Jabatan Perhutanan Perak nafi imej satelit hutan simpan gondol

Imej satelit yang tular menunjukkan kawasan hutan yang gondol dikatakan di Hutan Simpan Kekal Bintang Hijau namun dinafikan Jabatan Perhutanan Perak.
Imej satelit yang tular menunjukkan kawasan hutan yang gondol dikatakan di Hutan Simpan Kekal Bintang Hijau namun dinafikan Jabatan Perhutanan Perak.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak menafikan dakwaan kononnya imej satelit menunjukkan kawasan Hutan Simpan Kekal Bintang Hijau berhampiran Kuala Kangsar digondolkan.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, jabatan tersebut berkata, berdasarkan semakan awal dibuat pihaknya dan Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak berpandukan imej Google Map dan Sistem e-GP yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi memantau kawasan hutan simpanan kekal mendapati kawasan tersebut terletak di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Menurutnya, kawasan tersebut merupakan kawasan Felda Lawin Selatan yang dipercayai pernah tular sebelum ini.

"Pasukan dari Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak telah membuat semakan dengan bertemu Pengurus Felda Lawin Selatan dan beliau mengesahkan kawasan tersebut kawasan Felda Lawin Selatan," katanya dalam kenyataan media itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai mengulas laporan portal akhbar berbahasa Inggeris yang menyatakan imej satelit tersebut tular di media sosial.

Imej tersebut juga mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil yang memaklumkan kepada The Star bahawa pihaknya turut bimbang dengan keadaan hutan tersebut.

Menurutnya, Hutan Simpan Kekal Bintang Hijau telah diwartakan sebagai kawasan konservasi hidupan liar pada tahun 2013 oleh Kerajaan Perak.

Beliau berkata, jika kawasan tersebut dinyahwartakan dan dibersihkan akan memberi peluang kepada pemburu haram masuk ke kawasan hutan tersebut sekaligus mengancam haiwan liar di situ.

Artikel Berkaitan: