Sultan Selangor rasmi Masjid An-Nur berusia 75 tahun

Sultan Selangor menandatangani plak perasmian Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani di sini pada Isnin.
Sultan Selangor menandatangani plak perasmian Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani di sini pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani di sini pada Isnin.

Baginda berangkat tiba di perkarangan masjid berusia 75 tahun itu kira-kira jam 6.15 petang dengan diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS); Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sultan Selangor menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Perasmian Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani di sini pada Isnin.
Sultan Selangor menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Perasmian Masjid An-Nur, Sungai Haji Dorani di sini pada Isnin.

Sultan Sharafuddin turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 458 penerima dengan setiap seorang menerima bantuan RM500.

Daripada jumlah itu, seramai 61 penerima terdiri asnaf fakir, 266 penerima dalam kalangan golongan miskin dan 132 saudara baharu dari daerah Sabak Bernam dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM229,500.

Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menamakan masjid tersebut dengan nama Masjid An-Nur pada majlis perasmian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Masjid yang mula dibina pada awal tahun 1948 dan siap pada 14 Oktober 1949 hasil kerjasama daripada ahli kariah dengan dana sebanyak RM500 yang disumbangkan oleh orang ramai pada ketika itu.

Pada awal pembinaan masjid ini, ruang solat utama boleh menampung seramai 300 jemaah dan kini boleh memuatkan kira-kira 550 jemaah, manakala seramai 150 jemaah boleh memenuhi ruang serambi.

Kemudahan di masjid itu telah dipertingkatkan antaranya dengan memasang penyaman udara, mewujudkan bilik mesyuarat dan tempat penyembelihan lembu korban serta menaik taraf tempat wuduk wanita serta menambah ruangan parkir kenderaan bagi memenuhi keperluan semasa.

Di bawah kariah masjid itu terdapat sembilan buah surau iaitu Surau Peket 60, Surau Pekan Selasa, Surau Peket 20, Surau Parit 1, Surau Simpang 4, Surau Asam Jaya, Surau Sungai Nipah, Surau Parit Changkat dan Surau Kampung Nelayan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28